Demi minyak peket, sanggup berpura-pura jadi 'golongan marhaen'
SETIAP kali membeli-belah barangan dapur, Merak Jalanan suka melihat keletah pembeli. Dari situlah karakter, personaliti dan tahap ekonomi seseorang sedikit sebanyak dapat dinilai.
Golongan yang tidak kisah tentang harga, lazimnya membeli barangan premium dan berkualiti atau hanya ambil jenama popular. Jika berduit dan mampu, tak ada apa yang nak dipersoalkan.
Yang menjadi pertikaian apabila ada golongan berpura-pura dan sanggup mengetepikan hak orang lain. Pepatah Inggeris yang menyebut don't judge a book by it's cover memang ada benarnya.
Jangan percaya dengan penampilan seseorang kerana ada segelintir daripada mereka yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menggunakan sepenuhnya subsidi kerajaan meskipun tidak tergolong dalam kelompok B40.
Sebenarnya Merak Jalanan nak kaitkan sikap manusia tidak tahu malu ini dengan isu kekurangan bekalan minyak masak peket yang masih jadi bualan hangat.
Walaupun kerajaan mengatakan minyak masak peket hanya untuk golongan B40 dan peniaga kecil tetapi dengan mata kepala sendiri Merak Jalanan menyaksikan golongan ‘kayangan’ rupanya lebih ramai yang mengosongkan rak minyak masak peket itu di pasar raya.
Mereka datang membeli-belah dengan gaya ‘serabai’ tetapi di sebalik penampilan tidak seberapa itu, mereka memiliki kenderaan mewah.
Merak Jalanan lihat sendiri seorang pelanggan berusia sekitar 50-an tidak segan silu bertekak dengan staf pasar raya kerana berkeras hendak membeli minyak peket lebih daripada yang dihadkan.
Individu yang beratur di belakangnya pula turut sama menyokong pelanggan berkenaan. Namun, kebenaran terbongkar apabila Merak Jalanan terserempak mereka di tempat parkir. Rupa-rupanya mereka naik satu kereta, kereta mewah!
Begitulah pelbagai ragam manusia dapat dilihat, lebih-lebih lagi ketika rakyat semakin tertekan dengan kenaikan harga barang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!