Vidal azam bantu Flamengo rampas trofi Copa Libertadores

Vidal - Foto Inter IT
Vidal - Foto Inter IT
A
A
A

BEKAS bintang Juventus dan Bayern Munich, Arturo Vidal berazam untuk membantu kelab baharunya Flamengo, mara ke separuh akhir Copa Libertadores dalam usaha merampas trofi daripada juara bertahan, Palmeiras musim ini.

Menurut Vidal, dia kini bersemangat untuk membantu Flamengo merealisasikan hasrat berkenaan biarpun bakal berdepan kelab senegara, Corinthians di peringkat suku akhir.

“Setelah lebih sedekad di Eropah, tentunya saya teruja dapat kembali ke sini (Amerika Selatan) dan beraksi pula dalam saingan Copa Libertadores.

“Walaupun bukan beraksi dalam saingan liga di negara saya, Chile, saya tetap teruja untuk membantu Flamengo mara ke separuh akhir dan seterusnya ke pentas final untuk memenangi trofi Copa Libertadores kali ini,” katanya.

Untuk rekod, Vidal mula berkelana ke Eropah dengan menyertai gergasi Bundesliga, Bayer Leverkusen pada musim 2007 lalu daripada kelab Chile, Colo-Colo.

Sejak itu, Vidal mula beraksi dengan beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Juventus mulai musim 2011 hingga 2015, Bayern Munich (2015-2018), Barcelona (2018-2020), Inter Milan (2020-2022) dan kini bersama Flamengo.

Sementara itu, Vidal mendedahkan dia sememangnya sudah lama mahu beraksi dengan Flamengo yang disifatkannya sebagai salah satu pasukan terbaik di Amerika Selatan.

Justeru, Vidal tidak mahu mempersia-siakan peluang beraksi dengan kelab berkenaan dengan meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Kini saya sudah kembali ke Amerika Selatan, walaupun bukan beraksi dengan kelab di negara kelahiran saya, Chile, saya tetap gembira berada di sini semula setelah lebih sedekad merantau di Eropah.

“Lagi pun saya sudah lama mahu beraksi dengan Flamengo kerana bagi saya mereka merupakan pasukan terbaik di benua Amerika Selatan dan untuk kelangsungan karier, saya perlu bersama mereka.

“Saya juga telah tiga hari menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan dan saya akui pasukan ini mampu pergi lebih jauh dalam usaha mencabar trofi Libertadores kali ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!