DUN Perak tangguh kelulusan RUU Sumber Air 2022

Saarani mengumumkan penangguhan kelulusan RUU Sumber Air 2022 sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Saarani mengumumkan penangguhan kelulusan RUU Sumber Air 2022 sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menangguhkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air 2022 bagi membolehkan ia diperhalusi sebelum diluluskan.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengemukakan usul berkenana ketika sesi penggulungan RUU berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu dilaksanakan selepas meneliti hujah-hujah yang disampaikan oleh wakil rakyat dalam tempoh perbahasan RUU tersebut.

"Oleh yang demikian dengan ini saya ingin mencadangkan RUU tersebut ditangguhkan kepada satu masa yang akan ditetapkan dan sebuah jawatankuasa bipartisan ditubuhkan bagi membolehkan kita semua dapat duduk semeja, memperhalusi dan mengharmonikan RUU ini.

"Apabila dibawa semula ke dewan ini, ia dapat mencerminkan kehendak sebenar wakil rakyat yang ada dan memberi kebajikan dan kebaikan negeri dan rakyat di negeri ini," katanya ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Saarani berkata, keputusan menangguhkan kelulusan RUU itu juga dipersetujui sebulat suara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang turut membincangkan perkara itu.

Tindakan itu kemudiannya mendapat sokongan daripada pihak kerajaan dan pembangkang yang memuji keputusan berkenaan.

RUU Sumber Air 2022 dibentangkan oleh Saarani pada Isnin disebabkan ketika ini pengurusan sumber air di Perak masih dikawal selia berdasarkan kepada peruntukan Akta Air 1920 [Akta 418] dan tiada badan khusus yang boleh menjadi rujukan utama untuk kawal selia sumber air tersebut.

RUU tersebut digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air di negeri Perak serta menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!