Pindah pegawai tidak beri manfaat kepada rakyat: Bung Moktar
KOTA KINABALU - Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran kepada pegawai di bawah kementeriannya akan diambil tindakan jika tidak menjalankan tugas untuk rakyat.
Menjelaskan perkara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, memang terdapat tangki air tidak berfungsi dan itu menyebabkan bekalan air di kawasan tidak mencukupi.
Menurutnya, kementerian sedang dalam perancangan peringkat akhir hala tuju air seluruh Sabah.
"Berkaitan penglibatan pegawai Jabatan Air, tidak dapat saya nafikan apabila manusia ini lebih dari seorang dan ramai, sebagai pelaksana itu sendiri (ada yang) tidak amanah dengan tanggungjawabnya.
"Sebab itu, saya telah beri amaran melalui penerangan jelas kepada setiausaha kementerian, mana-mana pegawai kita yang didapati tidak berfungsi, tidak beri manfaat kepada rakyat, tarik dia dari kawasan itu dan pindahkan di mana orang tidak boleh jumpa dia," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Assaffal P Alian (Warisan-Tungku) berhubung jadual catuan air tidak efisien yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Beliau turut mengakui ada menerima laporan bahawa pegawai di bawah kementeriannya ada yang tidak melaksanakan tugas mereka.
"Dia (pegawai) jadi penganiaya kepada rakyat, ini saya jelaskan. Ini memang saya akan lakukan termasuk Jurutera daerah JANS Jabatan Kerja Raya (JKR) sebab saya terima laporan jurutera daerah tiga hari tiada di pejabat, tidak boleh jumpa orang.
"Mana boleh, ini saya kata rosakkan imej kementerian. Saya jenis manusia suka tolong rakyat, jangan aniaya saya," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan lisan yang diajukan sebelum itu, Bung Moktar menjelaskan bahawa status projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kampung Bangingod, Kampung Sri Hak dan Kampung Telibas, Tungku, Lahad Datu pada masa kini adalah dalam fasa semakan draf dokumen tender di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan.
"Proses perolehan projek ini akan dilaksanakan pada tahun ini dan kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan menjelang tahun 2023.
"Bagi kawasan yang belum menerima bekalan air terawat seperti Kampung Tambisan, Simuning dan Mundas, JANS akan menyenaraikan cadangan program bekalan air luar bandar dalam Rolling Plan Ke-empat (RP4) di bawah Rancangan Malaysia ke-12(RMK12) kelak, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!