Kasut, beg tangan tiruan bernilai RM3.3 juta dirampas
KOTA BHARU - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai jenama beg tangan wanita dan kasut tiruan bernilai RM3.3 juta di Bukit Bunga, Tanah Merah pada Ahad.
Rampasan jam 6 petang itu dilakukan hasil rondaan rutin menerusi Op Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota bertugas ternampak dua buah lori dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota Batalion 7 PGA terus mengekori kenderaan tersebut dan berjaya menahan dua lori itu di bahu jalan berdekatan Balai Polis Bukit Bunga.
"Setelah pemeriksaan dibuat di bahagian belakang kenderaan tersebut telah menjumpai beberapa guni berwarna putih berisi pelbagai jenis beg tangan wanita bernilai RM119,400 dan kasut dipercayai tiruan pelbagai jenama RM3.27 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 31 tahun bersama lori serta barangan rampasan dibawa ke ke Balai Polis Rantau Panjang, Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kesemua barangan tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan untuk pasaran tempatan.
Katanya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan dan disiasat bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!