RUU pencetakan teks al-Quran dibentang untuk bacaan kali pertama

Suasana Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika berlangsung di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Suasana Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika berlangsung di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2022 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa yang antara lain mencadangkan peningkatan jumlah penalti dan hukuman penjara lebih berat kepada pihak terlibat dalam salah laku pencetakan, penjualan dan pengedaran naskah al-Quran.

Menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen, rang undang-undang bagi meminda Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 itu antara lain mencadangkan peningkatan jumlah penalti maksimum kepada RM50,000 daripada RM10,000 sebelum ini serta menaikkan hukuman maksimum penjara dari tiga tahun ke lima tahun bagi beberapa kesalahan di bawah rang undang-undang itu.

Antara kesalahan yang memperuntukan hukuman itu ialah mencetak atau membantu dalam pencetakan atau menerbitkan atau membantu dalam penerbitan sesuatu teks al-Quran tanpa suatu lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu peruntukan itu juga terpakai bagi kesalahan di bawah subfasal 6 (b) iaitu mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran yang tidak diperakui oleh LPPPQ.

Pindaan itu juga melibatkan kesalahan mencetak atau membantu dalam pencetakan atau menerbitkan atau membantu dalam menerbitkan sesuatu teks al-Quran yang di dalamnya mana-mana maklumat atau pernyataan adalah palsu yang memperuntukkan jumlah denda maksimum RM50,000 berbanding maksimum RM20,000 sebelum ini.

Rang undang-undang itu juga memasukkan seksyen baharu yang dicadangkan bertujuan memberi LPPPQ kuasa untuk mengeluarkan garis panduan atau arahan sebagaimana yang difikirkan sesuai untuk mengawal selia pencetakan, pengimportan, penerbitan, penjualan, pengedaran, pelupusan, penterjemahan atau pentafsiran teks al-Quran atau bahan al-Quran.

Peruntukan baharu itu juga membenarkan LPPPQ mengenakan penalti kewangan bagi apa-apa ketidakpatuhan terhadap mana-mana garis panduan atau arahan yang dikeluarkan oleh lembaga itu.

Rang undang-undang itu dibentang oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang menyatakan bacaan kali kedua akan dibentang pada persidangan sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!