'Kekalkan momentum cemerlang' - Faizal Azumu
MASIH banyak perkara yang perlu dilakukan skuad bola sepak kebangsaan untuk mengekalkan prestasi demi mencapai keputusan lebih baik pada masa akan datang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Faizal Azumu berkata, tahun ini, kedua-dua skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda melakar prestasi membanggakan negara, namun mereka perlu mengekalkan momentum kecemerlangan itu.
"Walau kita menang Piala Dunia sekalipun, kita perlu memastikan skuad negara sentiasa dalam keadaan baik..kekalkan momentum dari segi pencapaian.
Ini perkara penting yang perlu diteruskan,” katanya selepas melancarkan Liga Tunas Malaysia di Stadium Mini Taman Pancarona, di sini pada Selasa.
Ahmad Faizal pada masa sama turut berharap agar para penyokong terus menyokong skuad kebangsaan dan bukannya membuat kecaman sekiranya pasukan bola sepak melakukan kesilapan.
Pada 14 Jun lepas Skuad Harimau Malaya berjaya menempah slot ke Piala Asia 2023 selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu skuad Harimau Muda bawah 19 tahun (B19) pula berjaya menjulang trofi Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) selepas menewaskan Laos 2-0 pada saingan final di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia Jumaat lepas.
Mengenai perkembangan Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditutup untuk proses baik pulih, Ahmad Faizal berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setakat ini sudah menyiapkan audit forensik struktur stadium berkenaan bagi meneruskan proses itu.
"KBS akan pastikan untuk menambah baik stadium berkenaan dan ia disiapkan seperti masa yang kita tetapkan,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!