Lembaran baharu karier Lewandowski

Lewandowski
Lewandowski
A
A
A

FALSAFAH bola sepak Xavi Hernandez di Barcelona dorongan utama gergasi La Liga Sepanyol itu menjadi pilihan destinasi karier Robert Lewandowski selepas bersama juara Bundesliga Jerman, Bayern Munich sebelum ini.

Itu luahan Lewandowski sambil menyifatkan idea dan kaedah bekas pemain tengah Barca tersebut menakjubkan dalam memacu hala tuju kelab The Catalan berkenaan.

Malah tonggak Poland itu berkata, falsafah dibawa bekas pemain Sepanyol tersebut juga umpama lukisan masa depan pasukan dari Sepanyol.

"Saya bercakap dengan Xavi dan sejak awal saya tahu apa yang ada dalam fikirannya, idea-ideanya...

“Sejujurnya adalah mudah membuat keputusan untuk datang ke Barcelona kerana saya adalah individu yang mahu bermain, yang mahu menang, dan saya percaya dengan Xavi ia mampu menjadi kenyataan.

"Dia tahu cara sebenar bagaimana untuk melatih Barcelona kerana dia adalah pemain yang hebat dan kini dia juga seorang jurulatih yang sangat baik. Dia mempunyai masa depan yang menakjubkan dan saya mahu menjadi sebahagian itu,” kata Lewandowski.

Lewandowski yang sebelum ini mempunyai baki 12 bulan kontrak bersama Bayern, berpindah ke Barcelona dalam perjanjian bernilai 45 juta Euro (RM203 juta) telah menyertai pasukan itu dalam jelajah pramusim Amerika Syarikat (AS)

Pada masa sama Lewandowski tanpa berselindung mengakui sentiasa teruja mahu bermain untuk sebuah kelab besar dalam La Liga sebelum ini.

Malah jelasnya, kehadiran Xavi yang membawa Barcelona dari permulaan hambar di tangga kesembilan untuk menduduki tangga kedua liga merupakan pencapaian menakjubkan.

"Saya akui sangat gembira dapat bersama Barcelona biarpun beberapa hari terakhir sangat panjang, namun akhirnya perjanjian itu selesai.

"Jadi sekarang saya boleh fokus pada lembaran baharu dalam hidup saya, cabaran baharu," katanya.

Untuk rekod, Lewandowski memenangi dua anugerah terakhir Pemain Terbaik Terbaik FIFA juga merupakan penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Bundesliga.

Dia menjaringkan 348 gol untuk Bayern dalam lapan musim, selain memenangi gelaran liga setiap tahun dan Liga Juara-Juara pada 2020.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!