Speaker DUN tolak memorandum Solidariti Anak Sabah
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 60 individu terdiri daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Solidariti Anak Sabah hadir berarak menuju ke bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menghantar memorandum berhubung gesaan membenarkan usul tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan di DUN Sabah pada Selasa.
Bagaimanapun, perarakan sejauh kira-kira 100 meter yang diwakili oleh Mohd Ismail Ayob tidak membawa makna apabila memorandum berkenaan tidak diterima Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Mohd Ismail berkata, perkara itu amat mengecewakan mereka kerana memorandum yang melibatkan suara rakyat Sabah tidak dapat diterima Speaker DUN Sabah.
"Kita menganggap beliau tidak menerima memandangkan bahawa Sidang DUN negeri ini akan berakhir pada Khamis.
"Kita diminta hantar memorandum ini pada minggu depan, namun tiada ertinya kerana Sidang DUN negeri akan berakhir pada Khamis ini. Sebab itu, kita menggesa Speaker menerima memorandum ini untuk dibahaskan," katanya kepada pemberita di pekarangan DUN Sabah di sini pada Selasa.
Mohd Ismail sebelum itu memaklumkan antara isi kandungan memorandum itu ialah isu tuntutan waris kesultanan Sulu sudah terlalu lama didengari, namun tidak pernah diselesaikan.
"Saban tahun terutama menjelang pilihan raya, pasti isu ini akan keluar semula dan dipergunakan untuk menakutkan warga serta pengundi yang tinggal di Sabah.
"Sebagai sebuah negeri yang berdaulat, wajar untuk DUN Sabah mengangkat martabat suara rakyat Sabah yang mahukan isu ini diselesaikan oleh kerajaan Persekutuan.
"DUN Sabah harus mengangkat isu ini seperti kuasa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan hak-hak Sabah," katanya.
Sebelum itu, pada Isnin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengemukakan usul berhubung tuntutan waris kesultanan Sulu untuk dibahaskan di DUN Sabah, namun ditolak Speaker berikutan usul itu diterimanya kurang daripada 24 jam sebelum persidangan DUN bermula.
Sementara itu, di Dewan Rakyat, usul berkaitan isu yang sama dibawa oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis turut ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!