Kemungkinan bankrap seperti Sri Lanka amat tipis: Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh daripada Sri Lanka jika dibandingkan indikator ekonomi kedua-dua negara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sehubungan itu, beliau berkata kemungkinan untuk negara bankrap seperti Sri Lanka adalah amat tipis.
Katanya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga tidak pernah menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi yang mengakibatkan negara muflis, sebaliknya mereka yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Pada April tahun ini, IMF telah menyuarakan keyakinan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2022 akan berkembang pada kadar 5.75 peratus,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai sama ada tahap keberhutangan Malaysia masih di paras terurus dan penularan di media sosial bahawa Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka.
"Namun demikian, kerajaan perlu terus mengurus kewangan negara secara berhemat dan mengawal tahap hutang dari segi kemampuan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!