[VIDEO] Sindiket seludup diesel terbesar di Johor tumpas

Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan rampasan hos minyak di jeti Sungai Tiram, Kota Tinggi pada Selasa.
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan rampasan hos minyak di jeti Sungai Tiram, Kota Tinggi pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi terbesar di negeri ini susulan penahanan 19 lelaki di sebuah jeti di Sungai Tiram, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan jam 1 pagi itu, sebanyak 122,000 liter diesel dan sebuah kapal tangki, tiga buah tangki treler, tujuh hos minyak beserta enjin dan sistem GPS kapal dirampas membabitkan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai lebih RM10.7 juta.

"Sindiket ini menjadikan lokasi sunyi dan jauh di pedalaman serta sukar dimasuki dengan kenderaan sebagai modus operandi mereka. Dalam kes ini, sindiket memilih lokasi berhampiran sebuah jeti di Sungai Tiram.

" Ia dijadikan sebagai tempat transit penyeludupan minyak dari treler minyak ke kapal tangki sebelum dibawa ke perairan antarabangsa.

Kapal tangki yang dirampas daripada sindiket penyeludupan diesel berkenaan.
Kapal tangki yang dirampas daripada sindiket penyeludupan diesel berkenaan.

"Minyak diesel berkenaan dibeli pada harga subsidi RM2.15 seliter sebelum ia dijual pada harga RM3.50 di pasaran gelap antarabangsa. Polis percaya sindiket ini sudah beroperasi sejak sebulan lalu," katanya pada sidang media di sebuah jeti di Sungai Tiram di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora.

Menurut Kamarul Zaman, 19 suspek yang ditahan itu membabitkan 11 lelaki tempatan dan lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 58 tahun.

"Semakan rekod ke atas semua suspek mendapati enam daripada suspek tempatan mempunyai rekod lampau dan pernah dihukum dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lapan lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada rekod lampau.

"Kes disiasat dibawah Sekyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 61(c) Akta Imigresen 1959/1953," katanya.

Kamarul Zaman (dua dari kanan) pada sidang akhbar mengenai tangkapan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Sungai Tiram, Kota Tinggi pada Selasa.
Kamarul Zaman (dua dari kanan) pada sidang akhbar mengenai tangkapan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Sungai Tiram, Kota Tinggi pada Selasa.

Kamarul Zaman turut menggesa penduduk tempatan agar membantu dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung kegiatan penyelewengan diesel.

"Kalau dilihat hendak ke jeti di sini, cukup jauh dan perjalanan menaiki kenderaan memakan masa hampir sejam dengan keadaan berliku dan kecil.

"Namun di sini ada perkampungan, justeru saya menggesa agar masyarakat mainkan peranan membanteras ketirisan diesel yang merupakan hasil negara, penyeludup memang cari peluang untuk menangguk di air keruh. Jadi kita semua perlu benteras bersama" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!