Dakwaan pemilihan PKR untuk singkir kem Anwar cerita dongeng

Wee Tse menunjukkan salinan laporan polis terhadap Najib yang dibuat di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru pada Selasa.
Wee Tse menunjukkan salinan laporan polis terhadap Najib yang dibuat di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dakwaan bahawa Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 adalah langkah untuk menyingkirkan kem Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menguasai parti itu adalah tidak benar dan disifatkan cuba memecahbelahkan parti.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, sudah menjadi tradisi pemilihan akan ada yang kalah atau menang dan semua pihak perlu menerima serta menghormati keputusan itu dengan terbuka.

"Saya menafikan dakwaan ini (Pemilihan PKR 2022 untuk singkirkan kem Anwar) kerana ini semua adalah cerita dongeng. Apa yang berlaku sebenarnya semua adalah jelas, ada pemilihan dan ada yang kalah atau menang.

"Selepas pemilihan tiada lagi 'team' ini atau 'team' itu, kita semuanya dalam satu 'team' yang sama. Menang atau kalah semua ada, kalau kalah cuba lagi dan yang menang pula jangan sombong sangat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 bilion daripada waris kesultanan Sulu, di Balai Polis Tampoi di sini pada Selasa.

Sebelum ini beberapa pihak mendakwa kem Anwar gagal menguasai pemilihan tersebut apabila majoriti daripada mereka tewas manakala kem Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dikatakan lebih mendominasi keputusan dan pucuk pimpinan parti.

Mengulas lanjut, Jimmy berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah bergerak ke hadapan serta merapatkan saf kepimpinan kerana pemilihan sudah berakhir dan kini tumpuan untuk mengukuhkan parti.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 18 daripada 26 Cabang PKR di negeri ini membuat laporan polis terhadap Najib pada Selasa manakala selebihnya akan membuat langkah yang sama dalam minggu ini.

Katanya, walaupun laporan polis turut dibuat PKR di seluruh negara, PKR Johor berharap usaha yang dilakukan di negeri ini akan menjadi asas untuk melakukan siasatan dan seterusnya mendapat bukti yang kukuh untuk mendakwa bekas Perdana Menteri itu.

Jelasnya yang juga Ketua Cabang PKR Pulai, tindakan terhadap Najib boleh diambil mengikut peruntukan kanun jenayah sedia ada.

"Secara realitinya kalau kita tengok politik yang ada pada hari ini susah (melakukan pendakwaan terhadapnya) tetapi ini hasrat kita dan juga hasrat rakyat, kita tetap akan usahakan kerana rakyat pun mahukan satu jawapan.

"Tuntutan RM67.5 billion adalah satu jumlah yang besar. Pertama, Najib perlu tampil beri penjelasan dan kedua, polis perlu lakukan siasatan betul-betul dan bekerjasama dengan Peguam Negara, dapatkan asas untuk pendakwaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!