Projek Bandar Perabot Gua Musang tetap berjalan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan meneruskan Projek Bandar Perabot Gua Musang berkeluasan 120 hektar yang tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, buat masa ini kerja-kerja menukar status tanah daripada pertanian kepada industri sedang giat dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja tersebut berjalan sebagaimana yang dijadualkan.
"Pada 7 Ogos ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob akan mempengerusikan mesyuarat bagi memberikan kelulusan berkait dengan kerja-kerja penukaran status tanah.
"Bila lulus, kita akan pecahkan kawasan tersebut kepada lot-lot perindustrian di bawah projek tersebut paling lewat hujung tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan negeri menjangkakan awal tahun hadapan para pelabur sudah boleh masuk dan memulakan operasi di tapak berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini beberapa pelabur sudah menyatakan minat untuk membuka kilang di kawasan tersebut.
"Bandar perabot itu melibatkan keluasan 120 hektar dan bakal memberikan peluang pekerjaan kepada 1,500 orang.
"Kerajaan jangka tahun 2025 semua pelabur akan memulakan operasi penuh di tapak berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!