Najib perlu segera diheret ke muka pengadilan
BUKIT MERTAJAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diheret ke muka pengadilan atas kecuaiannya hingga menyebabkan negara berdepan dengan tuntutan berjumlah RM67.5 bilion dari waris kesultanan Sulu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa kerana ia berkait dengan maruah dan kedaulatan negara.
Menurutnya, semua lapisan rakyat perlu tahu dan faham mengenai apa yang berlaku dalam isu ini hingga menyebabkan waris kesultanan Sulu mengambil tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia.
"Saya percaya polis hari ini telah menerima banyak laporan mengenai isu ini dan beberapa lagi laporan akan dibuat dalam masa terdekat bagi mendesak tindakan diambil terhadap Najib.
"Sekiranya beliau tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri dan memastikan semua langkah diambil dalam menangani isu ini sudah pasti mereka (waris kesultanan Sulu) tidak akan bertindak sedemikian," katanya ketika ditemui di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, pada Selasa.
Sebelum itu, Fahmi bersama Naib Ketua Cabang Permatang Pauh, Mohd Kherol Azhar Mohd Yusoff membuat laporan polis terhadap Najib berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu.
Fahmi berkata, pihak polis digesa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera dalam isu ini seterusnya mengheret bekas Perdana Menteri itu ke mahkamah.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Pulau Pinang, Amir Ghazali berkata, setakat ini enam laporan telah dibuat oleh pimpinan PKR di negeri ini.
Antara yang tampil membuat laporan, Cabang Bayan Baru, Balik Pulau dan Wanita Permatang Pauh.
Pada Isnin, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta semua pimpinan dan cabang parti di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri itu sehingga membawa tuntutan waris kesultanan Sulu.
Menurut beliau, undang-undang negara memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang cuai dalam menjalankan tugas awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!