Desak buka kertas siasatan terhadap Najib

PKR Cabang Port Dickson membuat laporan polis terhadap Najib.
PKR Cabang Port Dickson membuat laporan polis terhadap Najib.
A
A
A

SEREMBAN - Enam laporan polis dibuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau dan satu daripada Cabang Port Dickson terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 billion daripada waris Kesultanan Sulu.

Ketua Cabang PKR Rembau, Mohd Hafiz Mohamad berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil mengikut peruntukan Kanun Jenayah sedia ada.

"Laporan polis dibuat termasuk dari Wanita Cabang Rembau, Angkatan Muda Keadilan Rakyat (AMK) Rembau dan satu daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembau.

"Laporan ini dibuat bagi memastikan seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya pada sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Rembau pada Selasa.

Menurutnya, waris kesultanan Sulu membuat tuntutan selepas pentadbiran negara yang diketuai Najib membuat keputusan menghentikan bayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013.

PKR Cabang Rembau membuat laporan polis terhadap Najib
PKR Cabang Rembau membuat laporan polis terhadap Najib

Tambahnya, keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

“Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Najib masih menjadi Perdana Menteri.

“Sekiranya Najib tidak cuai dalam menjalankan tugas pasti beliau (Najib) telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan,” katanya.

Kata Mohd Hafiz, laporan terbabit dibuat demi menjalankan tanggungjawab sivik sebagai seorang rakyat yang celik dan cintakan tanah air.

Sementara itu kenyataan sama turut diberi Naib Ketua Cabang Port Dickson, Muhammad Saufi Mi'ad selepas membuat laporan di IPD Port Dickson.

Beliau hadir bersama 25 ahli jawatankuasa PKR Cabang Port Dickson.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!