KPKT perlu keluarkan garis panduan STRA

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mengeluarkan satu garis panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai isu unit penginapan kediaman jangka masa pendek (STRA) di negara ini.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, ia bagi memastikan PBT mengambil serius isu STRA yang tidak berdaftar dan menjadikan pendaftaran dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) adalah syarat wajib sebelum lesen perniagaan atau operasi dikeluarkan bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Pihak kami berharap KPKT dapat mengeluarkan satu garis panduan yang jelas kepada semua PBT sekali gus menjadikan industri pelancongan kita lebih adil, selamat dan diyakini oleh pelancong-pelancong dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan lebih 70,000 unit penginapan STRA di negara ini menyediakan perkhidmatan tempat tinggal kepada pelancong tanpa kawalan atau terikat dengan apa-apa peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).

Pengendali rumah dan apartmen bebas beroperasi tanpa lesen, mengiklan perniagaan tanpa sekatan dan khidmat disediakan kepada pelancong di bawah standard yang dikenakan kepada hotel-hotel berdaftar.

Situasi itu menjejaskan imej sektor perhotelan apabila terdapat aduan daripada pelancong tempatan dan luar negara yang berkongsi pengalaman buruk menginap di kediaman berkenaan.

Beliau berkata, penginapan STRA ini sememangnya mendapat permintaan yang tinggi daripada kalangan pengguna apabila tibanya musim percutian.

Namun katanya, pengguna tidak menyedari bahaya yang sedang menunggu mereka kerana kebanyakan penginapan STRA ini tidak berdaftar dan tidak dilesenkan.

“Ramai pengguna tidak menyedari risiko bahaya yang mereka hadapi contohnya seperti kecurian dan layanan layanan buruk termasuk ada juga kes dilaporkan dihalau oleh pemilik STRA yang tidak berdaftar ini.

“Pengguna juga tidak tahu ke mana hendak mengadu masalah mereka apabila berdepan situasi yang tidak diingini atau pengalaman buruk yang dihadapi semasa menginap di STRA kerana kebanyakan tidak didaftar walaupun ada antara mereka mempunyai lesen perniagaan daripada PBT.

“PBT seharusnya perlu bertindak tegas dan adil dalam mengeluarkan sebarang lesen perniagaan dan perlu lebih sensitif berkaitan akta berkaitan pelancongan yang sedia ada,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!