Padang bola SMK Seksyen 18 selesai dinaik taraf
SHAH ALAM - Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, di sini kini boleh memanfaatkan sepenuhnya padang bola yang baharu selesai dinaiktaraf oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, padang bola berkeluasan 4.7 ekar itu mula dinaik taraf sejak tahun lalu melibatkan rumput padang serta pemasangan pagar 'anti climb'.
Beliau berkata, projek tersebut juga merupakan tanggungjawab sosial MBSA dalam menyediakan kemudahan awam untuk program masyarakat setempat.
Katanya, penyerahan semula padang itu dibuat hari ini dan pihak sekolah turut bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan seperti membersih, memotong rumput, membaja dan menyiram padang bola tersebut.
"Kerja-kerja penyelenggaraan ini akan diuruskan oleh pihak SMK Seksyen 18 Shah Alam mulai esok.
"Pihak sekolah juga bertanggungjawab dari segi penggunaan, pengurusan serta operasi penyewaan padang bola ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan merasmikan majlis penyerahan semula padang bola itu yang diadakan di SMK Seksyen 18 hari ini.
Shahrin berkata, padang bola itu boleh digunakan oleh para pelajar dan orang awam mengikut jadual penggunaan yang ditetapkan.
"Kita harap padang bola itu dapat diuruskan dengan baik serta bersistematik demi kebaikan bersama, "katanya.
Katanya, projek menaik taraf padang sekolah itu merupakan tanggungjawab sosial MBSA dalam menyediakan kemudahan awam untuk program masyarakat setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!