Mangsa kelima nahas awal pagi di Pulau Pinang meninggal dunia
GEORGETOWN - Seorang lagi mangsa kemalangan pada awal pagi Ahad lalu di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP), petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, Mohd Haziq Harris, 34, yang sebelum ini dirawat kerana mengalami kecederaan dalaman pada badan dan kepala disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang.
"Kita menerima panggilan daripada HPP yang mengesahkan salah seorang mangsa yang dirawat disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi.
"Ini menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat daripada nahas tersebut adalah lima orang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Soffian menambah, dua lagi mangsa masing-masing seorang telah dibenarkan pulang ke rumah dan seorang lagi masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
"Mangsa yang dibenarkan pulang adalah Muhammad Rahimi Shukor, 19, dari Ayer Itam manakala Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22, dari Pendang, Kedah sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta," katanya.
Dalam pada itu, adik bongsu mangsa, Siti Hadilah Harris, 30 berkata, dia sempat memasak sotong goreng kunyit untuk arwah abangnya pada Sabtu lalu.
Menurutnya, dia tidak menyangka itu adalah kenangan terakhir dia bersama abang kesayangannya itu.
"Dia ada minta saya masak sotong goreng kunyit untuknya dan saya sempat buat (masak). Itu kali terakhir saya jumpa dengannya sebelum dia terlibat dalam kemalangan pada awal pagi Ahad.
"Dia bekerja sendiri dan seorang yang pendiam, tak banyak cakap. Dia selalu tolong ayah dan ayah juga selalu berpesan kepadanya setiap kali keluar rumah. Walaupun sangat sedih, saya reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HPP di sini pada Selasa.
Sementara itu, bapa mangsa, Harris Shariff, 71, berkata, kali terakhir dia menemui arwah pada jam 11.30 malam Sabtu lalu sebelum anaknya itu keluar rumah.
Katanya, dia terkejut selepas diberitahu anak ketiga daripada empat beradik itu menghembuskan nafas terakhirnya petang Selasa setelah dua hari dirawat di HPP.
"Saya dah kata jangan pergi sebab hari sudah malam, namun dia beritahu akan pulang pagi esok (Ahad). Saya macam tidak sedap hati.
"Tetapi sebelum itu, pada jam 3 petang Sabtu, dia beli barangan keperluan rumah termasuk makanan untuk saya dan kucing peliharaan," katanya.
Jenazah Mohd Haziq dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pak Elong, Kepala Batas malam Selasa.
Dalam kejadian awal pagi Ahad, empat maut manakala tiga penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.
Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.
Menurut kenyataan polis, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
Empat yang maut itu adalah Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, dari Bayan Lepas; Muhammad Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dari Pendang, Kedah; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, dari Bayan Lepas dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, dari Georgetown.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!