Trend salah guna media sosial sebar 'New Malaysia' membimbangkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Serangan pihak tidak bertanggungjawab dalam menyuntik agenda baharu iaitu 'New Malaysia' yang mampu mencetuskan konflik terbuka antara kaum melalui penggunaan media sosial semakin membimbangkan, kata Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Zamri Yahya.

Menurutnya, trend semasa penyalahgunaan media sosial semakin membimbangkan iaitu bagi penyebaran berita palsu, salah faham dan untuk mencapai pemutarbalikan kebenaran.

"Penyalahgunaan ini akan menyemai pemikiran baharu kepada orang ramai untuk menolak sistem sedia ada.

"Orang ramai semakin keliru dan jadi tidak menentu kerana maklumat telah diselewengkan sekali gus timbulkan kegusaran dan mengancam keharmonian negara,” katanya.

Zamri berkata demikian semasa menjadi panel jemputan bertajuk "Landskap Keselamatan Negara: Mendepani Cabaran Semasa & Akan Datang” pada Persidangan Keselamatan Negara 2022, di sini, hari ini.

Menurutnya, serangan sedemikian amat berbahaya kerana boleh mengundang provokasi perkauman, keagamaan sekiranya tidak dikawal.

"Misalnya insiden di Puchong baru-baru ini di mana seorang individu dibelasah orang ramai susulan kenyataan dibuatnya yang menghina Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Pada Ahad lepas, polis menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang disyaki menghina agama Islam di media sosial, di sebuah rumah di Puchong dekat sini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!