Tiga isu penyumbang tertinggi risiko berlaku rasuah: SPRM

Razim - Foto Bernama
Razim - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu perolehan, penguatkuasaan dan ‘grand corruption’ merupakan penyumbang kepada risiko berlakunya rasuah yang paling tinggi dalam negara, kata Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor.

Beliau berkata, dalam statistik maklumat yang diterima dari tahun 2019 hingga April 2022, isu pentadbiran telah menyumbang 37.5 peratus, penguatkuasaan sebanyak 24.4 peratus manakala perolehan pula 24.2 peratus daripada jumlah maklumat keseluruhan yang diterima.

"Umumnya, masyarakat kita sedar dan tahu tentang kesalahan perbuatan memberi dan menerima suapan namun kesedaran untuk tidak mengamalkannya masih di tahap membimbangkan jika dinilai daripada statistik kes rasuah yang disiasat SPRM.

"Secara tidak langsung, ia membuktikan masih ada juak-juak tertentu yang perlu diberi perhatian agar perbuatan rasuah tidak terus menular," katanya ketika berucap pada Program Perolehan Bebas Rasuah: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Agensi Agama di Bangi hari ini.

Razim juga berkata, pengurusan dana yang diterima daripada kerajaan perlu diurus dengan baik, telus dan adil supaya tidak berlaku penyelewengan.

"Tanggungjawab yang sangat besar sebenarnya dalam melaksanakan agihan peruntukan ini kepada penerima akhir agar tiada pihak yang didiskriminasi," katanya.

Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Aminudin Mohamad, yang membacakan teks ucapan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pegawai dan anggota agensi serta jabatan agama perlu membentuk nilai positif dalam diri, kuat dan amanah, cekap dan berintegriti serta sentiasa jujur dan telus dalam melakukan pekerjaan, mempamer budaya kerja Islam selain sentiasa bersungguh-sungguh dalam pekerjaan.

"Agensi agama perlu bersih dan dilihat bersih. Kita perlu berhemah dan berhati-hati dalam menguruskan wang rakyat. Kita tidak mahu agensi agama dilabel sebagai tidak efektif... Kita perlu menangkis persepsi dan tohmahan bahawa institusi agama turut terpalit dengan isu ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya.

Hakimah berkata, agensi dan jabatan agama perlu sentiasa menunjukkan teladan yang baik dalam segala urusan dan tindakan selain berusaha menjaga nama baik organisasi serta imej Islam.

"Jika kita tersilap langkah, tersalah atur, akan memberi impak yang sangat besar kepada agama, sangat memalukan dan sangat mengaibkan," katanya.

Program Perolehan Bebas Rasuah: Jakim dan Agensi Agama, yang dihadiri 150 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan, diadakan sebagai antara usaha ke arah pemantapan governans, integriti dan antirasuah bagi memastikan tidak berlaku rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan ketirisan dalam pengurusan perolehan kerajaan serta wang awam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!