Peng Soon intai emas penampilan terakhir Sukan Komanwel
PEMAIN beregu campuran negara Chan Peng Soon mahu mempersembahkan aksi terbaiknya dalam misi membawa pulang pingat emas pada penampilan Sukan Komanwel terakhirnya di Birmingham, England, pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berkata, dalam penampilan kali keempat di pentas berkenaan, beliau mahu mencipta kenangan manis dengan mendedikasikan pingat emas kepada tanah air tercinta.
"Saya rasa ini Sukan Komanwel terakhir setelah empat kali beraksi dalam kejohanan itu, di mana saya akan cuba untuk dapatkan satu pingat emas sebab sebelum ini bagi acara individu (beregu campuran) keputusan gangsa sahaja.
"Bagi saya Sukan Komanwel amat penting sebab itu saya bangga boleh main sampai empat kali sebab bukan semua orang boleh main sebanyak itu, hendak main satu kali pun susah," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, pada Selasa.
Pemain berusia 34 tahun itu pernah bergandingan bersama Goh Liu Ying bagi edisi 2010 dan 2018 dengan kejayaan merangkul pingat gangsa pada edisi Gold Coast 2018 manakala bagi edisi Glasgow 2014, Scotland beliau bergandingan dengan Lai Pei Jing.
Dalam pada itu, pemain yang berada di ranking ke-113 bersama gandingan barunya Cheah Yee See itu nyata gembira selepas menemui rentak keserasian bersama Yee See, setelah beraksi dalam lima kejohanan, terakhir di Terbuka Singapura minggu lepas.
Bagaimanapun, Peng Soon berkata, dalam usaha memburu pingat untuk Malaysia, mereka perlu beraksi cemerlang untuk menundukkan nama besar di temasya berkenaan.
"Beregu Singapura dan England adalah antara negara pencabar, tetapi kita juga tidak boleh pandang rendah beregu India. Jadi saya rasa tiga negara ini cabaran besar untuk negara kita," katanya.
Yee See pula berkata, beliau tekad untuk menampilkan prestasi terbaik dalam penampilan sulungnya pada temasya berkenaan, meskipun masih terdapat aspek yang perlu diperbaiki tentang corak permainannya bersama Peng Soon,
"Paling penting kita punya 'rotation combination' yang perlu banyak kali latihan," kata pemain berusia 26 tahun itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!