Anwar kesal DUN Sabah luluskan kenaikan saraan
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kekesalan susulan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.
Menurut Anwar, keputusan itu tidak sepatutnya diteruskan dalam keadaan rakyat sedang bergelut dengan permasalahan kos sara hidup yang tinggi.
"Saya ingin mengingatkan semua pemimpin agar sentiasa mementingkan kebajikan rakyat berbanding kepentingan diri mereka, terutamanya waktu yang sangat memprihatinkan saat ini.
"Saya menggesa agar keputusan ini tidak diteruskan dengan mengambilkira kesusahan dan kepayahan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu telah diluluskan dengan suara terbanyak.
Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50); Menteri RM16,335 (RM22,869); Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130); dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Kedua Sabah ketika menggulung usul itu menegaskan implikasi kewangan kerajaan negeri untuk pelaksanaan kenaikan saraan itu dilihat tidak terlalu berat dan hanya melibatkan jumlah RM5.6 juta setahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!