Fun Walk Sinar Harian 16
SHAH ALAM - Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang dekat dengan masyarakat akan menganjurkan program kecergasan dinamakan Fun Walk Sinar Harian 16 sempena ulang tahun penerbitannya pada 31 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, program yang berkonsepkan manfaat masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti kecergasan pada hujung minggu ini adalah antara program utama sambutan ulang tahun Sinar Harian ke-16 dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
“Ini adalah program utama Sinar Harian sempena ulang tahun kali ini di samping terdapat pelbagai aktiviti lain sepanjang tiga hari sambutan ulang tahun kali ini bermula 29 hingga 31 Julai.
“Idea menganjurkan Fun Walk Sinar Harian 16 tercetus daripada KL Free Car Morning yang diadakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hujung minggu di sekitar ibu negara,” katanya.
Sinar Harian mengambil inisiatif untuk bersama-sama dengan kerajaan dan kementerian sebagai sebahagian aktiviti tanggung jawab sosial korporat syarikat menerusi sukan bersama keluarga.
“Aktiviti ini seiring dengan inisiatif yang sedang dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL menerusi segmen sukan, seni dan budaya serta akan menarik lebih ramai pelancong tempatan ke Kuala Lumpur setiap minggu.
“Istimewanya Fun Walk Sinar Harian 16 kali ini turut melibatkan lebih 500 kakitangan dan keluarga Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf untuk mendekati komuniti pembaca selepas lebih dua tahun kita tidak dapat melakukan aktiviti secara terbuka akibat pandemik Covid-19,” katanya lagi.
Selepas 16 tahun berada dalam pasaran media dan hati pembaca, inilah masa yang sesuai untuk kami bersama pembaca setia Sinar Harian dan komuniti keluarga Malaysia secara keseluruhan rentetan kerajaan mengumumkan fasa peralihan kepada endemik.
“Seperti diketahui umum, selain melaporkan berita menerusi media cetak, Sinar Harian adalah akhbar berbahasa Melayu nombor satu dipercayai di Malaysia yang sentiasa menganjurkan program-program untuk pembangunan modal insan dan negara menerusi pelbagai platform digital kami,” tambah Farah.
Dalam masa sama, program ini turut dijayakan dengan sokongan rakan-rakan strategik Sinar Harian dan kerjasama penaja.
“Kami amat mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia yang berada di Lembah Klang untuk turut sama menyertai program Fun Walk Sinar Harian 16 kali ini dan penyertaannya adalah percuma.
“Selain itu terdapat aktiviti dan program khas lain turut disediakan seperti Wacana Khas, Sinarmania Special dan siaran langsung pengumuman Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!