Perkasakan Harimau Muda
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran mengekalkan skuad Bawah 19 (B-19) tahun negara bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Mongolia pada September depan.
Malah, FAM juga diminta untuk mengemas kini perancangan ‘skuad emas’ kendalian Hassan Sazali Waras itu yang berjaya muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia pada minggu lalu.
Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah berkata, FAM harus terus memperkasakan program buat skuad Harimau Muda itu bagi membolehkan mereka lebih bersedia menghadapi ‘gelora’ di Mongolia nanti.
“Apa yang diperlukan sekarang adalah program persiapan yang lebih berkesan seperti dilakukan terhadap skuad Olimpik 1972 dan 1980 dengan sasaran mara ke pusingan akhir Piala Asia.
“Setiap pemain ‘generasi emas’ itu sudah mengenali antara satu sama lain sejak mereka beraksi di peringkat B-12 dan B-15 di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Tumpuan utama sekarang memastikan skuad B-19 mendapat pendedahan lebih, tidak hanya aspek perlawanan kompetitif, malah penambahbaikan aspek kekuatan fizikal dan mental,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Selepas menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2022, misi Harimau Muda kini adalah persediaan mengharungi saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Mongolia.
Raja Isa percaya anak-anak buah Hassan mampu mara ke pusingan akhir Piala Asia B-20 tahun depan jika mereka melakukan persiapan lebih rapi bagi mengharungi kempen kelayakan itu.
“Saya tidak ragu-ragu dengan keupayaan skuad B-19 selepas muncul juara di Indonesia baru-baru ini. Namun, beberapa penambahbaikan perlu segera dilakukan bagi menyediakan skuad yang mantap dan berdaya saing.
“Antara yang perlu diperbaiki adalah posisi pertahanan terutamanya apabila berdepan pasukan kuat seperti Korea,” ujarnya yang kini membimbing kelab Bangladesh, Muktijoddha Sangsad KC.
Pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-20 2023, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara 12 kali, Korea Selatan, selain Sri Lanka dan Mongolia.
Mengikut format pertandingan, 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik dalam aksi kelayakan itu akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 pada Mac tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!