Langkah awal ubah landskap politik
SHAH ALAM - Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah merupakan langkah awal mengembalikan negara ke landasan tepat bagi mencapai kejayaan cemerlang, sekali gus memastikan rakyat hidup sejahtera.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, kecelaruan geopolitik dunia dalam tempoh pandemik Covid-19 menjadi antara faktor tekanan ekonomi global dan kesan terhadap kestabilan politik di Malaysia.
Meskipun begitu, katanya, Malaysia mampu menanganinya dengan baik sekiranya seluruh barisan kepimpinan negara bersatu hati dan ikhlas membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat.
“Apa yang penting adalah menangani semua isu dihadapi dengan menjadikan kestabilan politik negara sebagai antara agenda utama fasa pemulihan ini menerusi transformasi struktur institusi dan perundangan.
“Usaha membasmi rasuah harus diperkukuhkan kerana ia merupakan benteng terbaik dalam membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.
Apabila tiada ketirisan dan rasuah berlaku di semua sektor, rakyat akan merasai kesemua peruntukan disediakan kerajaan dengan penuh syukur,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.
Nurhayati berkata, bermula September tahun lalu, Rasuah Busters bersama wakil gabungannya mengemukakan Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah sebagai langkah awal mengubah landskap politik Malaysia menjadi lebih baik.
Sehubungan itu, katanya, Rasuah Busters bersama rakan gabungan berkenaan akan mengadakan satu sidang akhbar pada hari ini bagi memaklumkan kemajuan enam tuntutan tersebut.
Antara panel yang dijadualkan hadir pada sidang akhbar Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah ‘Apa Dah Jadi?’ itu ialah Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf.
Saksikan sidang akhbar tersebut yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada jam 11 pagi Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!