Wajar percepatkan tempoh kajian e-undi

Malaysia masih menggunakan pendekatan undi secara tradisional iaitu menerusi kertas undi yang diguna pakai sejak merdeka. - Gambar hiasan
Malaysia masih menggunakan pendekatan undi secara tradisional iaitu menerusi kertas undi yang diguna pakai sejak merdeka. - Gambar hiasan
A
A
A

SISTEM undi dalam talian (e-undi) untuk pilihan raya di negara ini wajar dilaksanakan segera, malah kajian mengenainya perlu dipercepatkan seiring peredaran serta tuntutan semasa.

Sistem seperti itu sudah digunakan di banyak negara di dunia termasuk India yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai. Kaedah itu bukan saja lebih cepat, bahkan lebih selamat.

Malaysia bagaimanapun masih menggunakan pendekatan undi secara tradisional iaitu menerusi kertas undi yang diguna pakai sejak merdeka sehingga yang terbaharu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, walaupun jumlah pemilih berdaftar terus mencatatkan peningkatan.

Oleh kerana negara sudah memiliki teknologi terkini, sistem e-undi seharusnya tidak lagi berada pada peringkat kajian, sebaliknya dibincangkan secara lebih serius, dibuat simulasi sebelum diguna pakai untuk pilihan raya pada masa akan datang.

Menurut pakar, penggunaan teknologi digital seperti blok rantai (blockchain) dalam proses pengundian berupaya menangani beberapa isu berkaitan integriti dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Elemen itu sebenarnya akan mampu memberi kesan terhadap eksploitasi dalam PRU seperti melibatkan proses kiraan undi, pergerakan pengundi dan termasuk pemberian rasuah kepada pengundi di saat-saat akhir.

Mengambil contoh penggunaan aplikasi digital MySejahtera, membuktikan Malaysia mampu mengubahnya kerana sudah mempunyai teknologi yang diperlukan.

Namun begitu, dua perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya iaitu meminda Perlembagaan yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen dan memastikan sistem dibangunkan benar-benar stabil.

Sebelum itu, kemudahan infrastruktur juga perlu diambil kira terlebih dahulu agar usaha melaksanakan undi secara elektronik menjadi lebih mudah untuk dibincangkan. Ini kerana sekiranya terdapat gangguan melibatkan masalah teknikal, ia akan membawa kepada masalah lain termasuk keyakinan pengundi terhadap ketelusan sistem pilihan raya itu sendiri.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan masih mengkaji mekanisme bagi membenarkan pengundi yang layak untuk mengundi di tempat mereka bekerja atau tinggal tanpa perlu pulang ke negeri masing-masing.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu diambil bagi menyuburkan semangat demokrasi di negara ini.

Jelas beliau, penambahbaikan itu juga secara tidak langsung boleh membantu meningkatkan peratusan keluar mengundi.

“Sebenarnya, saya sendiri yang membangkitkan perkara ini (membenarkan pengundi luar mengundi di tempat mereka bekerja) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun semasa beliau menjadi Pengerusi SPR (sebelum ini). Jadi, adalah penting untuk SPR memikirkan bahawa (mungkin wujudkan) undi dalam talian atau sebagainya.

"Sebagai contoh, ramai orang Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung dan begitulah juga sebaliknya.

Mereka harus diberikan peluang untuk mengundi dan melaksanakan demokrasi (tetapi) dalam masa sama tidak mengganggu kerja mereka apabila dapat mengundi di tempat di mana mereka berada," kata Wan Junaidi ketika sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee dari Pakatan Harapan (PH) yang bertanya adakah kerajaan bercadang meminda akta untuk membenarkan pengundi luar mengundi di tempat mereka bekerja atau tinggal, tanpa perlu pulang ke negeri masing-masing.

Kenyataan Wan Junaidi bahawa beliau sendiri sudah lama membangkitkan isu berkenaan kepada Azhar Azizan agak menarik. Ini membuktikan perkara tersebut sudah lama dibincangkan, maka tidak seharusnya dilengahkan lagi. Sudah sampai masanya ia diputuskan.

Jangan sampai terlalu lama mengambil masa membuat kajian, akhirnya cadangan tersebut hanya tinggal 'angan-angan' disebabkan kita sendiri takut untuk membuat perubahan.

*Norhafiza Musa ialah Penolong Penerbit Kandungan Berita Digital Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!