Sang Kenari kembali terbang tinggi

Ngah Wanja dan Al Mardi mencetakkan gol membantu KDA FC mengatasi Sarawak United FC 3-1 di Stadium Darul Aman pada Selasa. FOTO KDA FC
Ngah Wanja dan Al Mardi mencetakkan gol membantu KDA FC mengatasi Sarawak United FC 3-1 di Stadium Darul Aman pada Selasa. FOTO KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC kembali mendapat rentak kemenangan dalam saingan Liga Super 2022 apabila menewaskan Sarawak United FC 3-1 di Stadium Darul Aman, pada Selasa.

Gagal mendapatkan kemenangan sejak lima perlawanan lalu, pengendalinya, Aidil Sharin Sahak boleh kembali senyum apabila Sang Kenari memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan beraksi di laman sendiri.

Pemain import KDA FC dari Jordan, Mahmoud Al Mardi membuktikan kualiti penyudahnya apabila menjaringkan dua gol manakala satu lagi disumbangkan oleh penyerang mereka, Ronald Ngah Wanja.

Gol pertama Al Mardi hadir seawal minit ke-9 apabila menolak masuk bola hantaran cantik dari sebelah kanan menerusi Fayadh Zulkifli.

Perlawanan jelas didominasi oleh tuan rumah namun penyerang Sarawak United, Uche Agba berjaya membantu pasukannya mengikat lawan 1-1 pada minit ke-53 selepas melakukan serangan balas yang pantas.

Namun Ngah Wanja kembali meletakkan KDA FC kembali di hadapan 2-1 selepas menjaringkan gol cantik hasil hantaran Sanrawat pada minit ke-75.

Al Mardi melengkapkan kemenangan pasukannya kepada 3-1 apabila menjaringkan gol menarik pada minit ke-80 dari luar kotak penalti dengan mengelirukan penjaga gol pelawat.

Kemenangan tersebut menyaksikan KDA FC kembali mendaki ketangga keempat liga super dengan mengumpul 17 mata selepas 11 perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!