'Wartawan jadian' tidak bebas undang-undang: Pakar

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemunculan ‘wartawan jadian’ yang mencemarkan profesion kewartawanan kerana kelaziman mereka menyebarkan maklumat tidak sahih mahupun tepat menerusi media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai, tidak boleh diambil ringan.

Ini kerana kata pakar, platform tersebut begitu dekat dengan masyarakat selain boleh diakses hanya dengan sekali klik, asal saja ada liputan Internet.

Sementelah ada masa maklumat yang disebarkan pula berpotensi menggugat ketenteraman dan keharmonian masyarakat, dan ini diakui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek yang berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh kementerian itu ialah menangani penyebaran berita palsu.

Dalam laporan media pada 15 Julai lepas, beliau dipetik menyeru media dan wartawan profesional agar tidak terus membiarkan golongan ‘wartawan jadian’ mengambil alih peranan mereka dalam penyebaran berita, sebaliknya mempertingkat usaha dalam menyampaikan maklumat benar dan sahih.

'Wartawan jadian' membimbangkan?

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, sememangnya kewujudan ‘wartawan jadian’ itu berpotensi mendatangkan kebimbangan kerana kecanggihan teknologi komunikasi membolehkan hampir sesiapa sahaja menjadi ‘wartawan rakyat’.

Mentakrifkan ‘wartawan jadian’ sebagai mereka yang berkongsi segala maklumat menerusi media sosial dengan pantas, Chamil berkata, golongan itu berbuat demikian tanpa melakukan penyelidikan dan semakan fakta dengan pihak berwajib.

"Perkongsian maklumat mereka bukan 100 peratus betul, namun apa yang membezakan wartawan jadian dengan wartawan profesional ialah wartawan profesional masih lagi kuat berpegang pada etika kewartawanan dengan melaporkan berita sahih yang disahkan oleh sumber yang betul.

"Yang membimbangkan apabila wujudnya kekeliruan dalam kalangan pembaca tentang maklumat yang disebarkan oleh ‘wartawan jadian’ sehingga adakala kredibiliti wartawan profesional dipersoal kerana biasanya maklumat yang dikongsi oleh ‘wartawan jadian’ bersifat sensasi dan kontroversi,” katanya kepada Bernama.

Lambakan ‘wartawan jadian’ yang begitu bebas menyebarkan maklumat tanpa verifikasi, menimbulkan persoalan sama ada undang-undang sedia ada mampu menangani masalah itu.

Menjelaskan perkara berkenaan, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, golongan itu sebenarnya turut terikat dengan peraturan.

Katanya undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 mempunyai peruntukan mencukupi untuk menangani penyebaran maklumat palsu yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.

"Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan misalnya, boleh mengekang berita yang dikongsi ‘wartawan jadian’ yang berisiko membangkitkan ketakutan atau kegentaran awam.

"Kerana itu, kita mengingatkan masyarakat agar mendapatkan berita daripada sumber sahih seperti Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) kerana berita-beritanya telah melalui proses penyuntingan, ‘gatekeeper’ dan dikawal selia,’’ katanya.

Tidak dapat dielakkan

Noor Nirwandy berkata, kewujudan ‘wartawan jadian’ tidak dapat dielakkan berikutan perkembangan dunia digital dan komunikasi tanpa sempadan serta keghairahan masyarakat berkongsi maklumat walaupun tanpa asas dan etika kewartawanan.

"Keterujaan menyebar berita selalunya disebabkan sensasi dan sikap ingin menjadi ‘hero’ siapa paling cepat berkongsi maklumat untuk meraih populariti dan ini normal dalam dunia komunikasi moden hari ini apabila setiap orang mempunyai kuasa berkomunikasi,” tambahnya.

Namun begitu, ‘wartawan jadian’ harus mempunyai integriti dengan tidak berkongsi sebarang maklumat dan berita tidak sahih untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, amat penting ‘wartawan jadian’ mempunyai sifat kawalan kendiri dan hanya berkongsi maklumat yang telah disahihkan, sekali gus dapat memberi impak positif kepada masyarakat.

Dalam pada itu, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Siti Ezaleila Mustafa berkata, media arus perdana masih lagi relevan kerana tetap menjadi rujukan masyarakat, khususnya berkaitan isu-isu semasa.

"Wartawan sebenar bertanggungjawab melaporkan berita atau sesuatu peristiwa dengan cara profesional daripada sumber (berita) yang betul dan sahih.

"Mereka akan tetap melaporkan berita yang sahih dan benar walaupun berhadapan dengan cabaran ‘wartawan jadian’. Malah, saya percaya wartawan sebenar tidak akan tergugat dengan lambakan ‘wartawan jadian’,” katanya.

Beliau juga berkata, wartawan profesional sangat penting untuk proses semak dan imbang bagi memastikan maklumat yang disalurkan oleh ‘wartawan jadian’, khususnya di media sosial, dapat ditepis oleh masyarakat.

"Media arus perdana juga wajar memanfaatkan pengaruh media sosial sepertimana ‘wartawan jadian’ dalam menyebarkan maklumat kerana platform sebegini akan menguatkan lagi peranan mereka terutama dalam merapatkan hubungan dengan orang ramai serta membina imej agar lebih dipercayai dengan laporan yang disampaikan,” katanya.

Selain itu Siti Ezaleila berpandangan media arus perdana boleh menggunakan atau bekerjasama dengan pempengaruh media sosial dalam menangani 'wartawan jadian'.

"Organisasi media tidak boleh lagi melihat masyarakat sama seperti dulu yang hanya menerima dan membaca apa yang disampaikan. Sebaliknya, perlu ada interaksi dengan media menerusi kerjasama dengan pempengaruh media sosial yang mempunyai ramai pengikut bagi memupuk kesedaran tersebut," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!