[VIDEO] Warisan tak setuju kenaikan gaji ADUN Sabah, anggota pentadbiran
KOTA KINABALU - Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan pendiriannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenaikan gaji anggota pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Dalam sesi perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) bagi kenaikan gaji ADUN dan anggota pentadbiran DUN Sabah itu, Mohd Shafie yang juga ADUN Senallang meminta penjelasan formula apa yang digunakan untuk tujuan itu.
"Tentang perkara ini, saya melihat perlu dijelaskan apa formula digunakan tentang kenaikan gaji. Kalau nak spesifik untuk Speaker, Timbalan Speaker naik RM5,000, Dewan Negeri (ADUN) naik RM3,000.
"Apa asas yang kita gunakan kalau persolan dia untuk kepentingan rakyat (kerana) Speaker, Timbalan Speaker tidak ada kawasan yang nak dijaga, naik RM5,000, yang DUN naik RM3,000 saja yang banyak kawasan dia," katanya pada sidang DUN Sabah pada Selasa.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengakui pada waktu pentadbirannya memang ada cadangan untuk menaikkan gaji berkenaan, namun ketika itu negara tidak berhadapan dengan krisis yang dihadapi kini.
"Saya tahu ADUN-ADUN memerlukan kewangan yang ada tetapi cuma saya nak bangkitkan adakah ini masa yang sesuai kerana saya tahu perkara ini membimbangkan di peringkat akar umbi.
"Saya tahu bebanan banyak, bukan tidak banyak bebanan dia tapi saya berharap sungguh apa yang saya soalkan tadi itu, formula apa yang kita gunakan, kaedah apa yang kita gunakan," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, walaupun kerajaan negeri mempunyai hasil yang banyak ketika ini berikutan peningkatan hasil daripada kutipan cukai dan royalti, namun dalam keadaan ekonomi yang semakin membebankan rakyat ia tidak sesuai dilaksanakan.
"Saya tahu banding dengan negeri-negeri lain, gaji ADUN Sarawak dan menteri jauh lebih besar daripada kita tetapi adakah perkara ini sesuai atau tidak dalam keadaan ekonomi yang semakin membebankan rakyat, hutang negara semakin meningkat.
"Saya sebenarnya tidak setuju dengan apa yang dilakukan ini," katanya.
Sebelum itu, DUN Sabah pada Selasa telah meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 bagi kenaikan emolumen atau gaji ADUN dan anggota pentadbiran DUN Sabah.
Kenaikan gaji itu merangkumi gaji Ketua Menteri, Timbalannya, Menteri, Speaker, Pembantu Menteri, Timbalan Speaker, ADUN dan Setiausaha Politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!