Sterling bukan pemain legenda City

Sterling - Foto GettyImages
Sterling - Foto GettyImages
A
A
A

BIARPUN telah membantu melakar banyak kejayaan bersama The Citizens sebelum ini, namun Sterling masih belum mencapai tahap untuk bergelar pemain legenda di Etihad.

Pendapat itu ditegaskan bekas pemain City, Pablo Zabaleta ketika mengulas mengenai keputusan Sterling yang memilih untuk beraksi dengan Chelsea, musim panas ini.

“Ya, kita tahu dia (Sterling), telah berkhidmat dengan baik di Etihad. Dia datang ke sini pada usia muda dan banyak membantu kejayaan pasukan.

“Bagaimanapun, kesemua perkara berkenaan masih belum cukup untuknya bergelar pemain legenda di Etihad,” katanya.

Untuk rekod, Sterling tiba ke Etihad dari Liverpool pada 2015 dan muncul selaku antara pemain sayap terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), ketika itu.

Sepanjang beraksi bersama City, pemain kebangsaan England itu telah membantu kelab berkenaan menjulang empat trofi EPL termasuk kesemua trofi domestik yang dipertandingkan.

Malah, pemain yang berusia 27 tahun ketika ini turut membantu City muncul naib juara Liga Juara-Juara musim 2021 lalu.

Sementara itu Zabaleta mengakui istilah ‘legenda’ telah digunakan dengan agak keterlaluan dalam arena bola sepak moden hari ini apabila ia terlalu mudah dilabel kepada mana-mana pemain.

Justeru katanya, label selaku pemain lagenda yang diberikan kepada Sterling dilihat sebagai contoh yang terbaik walaupun pemain berkenaan telah banyak membantu kejayaan pasukan sebelum ini.

“Bagi saya, istilah legenda itu mungkin sudah digunakan dengan agak keterlaluan dan menyaksikan pemain-pemain terlalu mudah diiktiraf sebagai pemain legenda bagi sesebuah pasukan.

“Bagi saya istilah ‘legenda’ untuk kelab ini lebih sesuai digunakan kepada pemain-pemain seperti Sergio Aguero, David Silva dan Vincent Kompany..sebab itulah mengapa ukiran arca (patung) mereka ada di luar stadium,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!