Banjir Baling: Muhammad Sanusi didakwa lambat bertindak
SUNGAI PETANI- Kerajaan Kedah didakwa lambat bertindak memandangkan sehingga kini tiada tindakan segera dilakukan bagi mengelakkan insiden banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai lalu, berulang.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Simon Ooi Tze Min berkata, tindakan itu perlu memandangkan lokasi kejadian termasuk di Kampung Iboi masih dilanda hujan lebat sehingga Selasa.
Beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Sungai Petani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang berkata, melihatkan kepada cuaca yang tidak menentu ketika ini, sudah pasti keadaan itu menimbulkan kebimbangan penduduk khususnya mangsa terlibat.
"Semalam berlaku lagi banjir kilat di kawasan Baling dan sekitar Kedah termasuk di kawasan yang pernah berlaku kepala air, namun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor belum umum tindakan yang akan diambil bagi mencegah insiden berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling telah mengorbankan tiga sekeluarga termasuk pesakit strok dan ibu hamil setelah dihanyutkan bersama rumah mereka pada 4 Julai lalu.
Jelasnya lagi, kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi juga sering bercanggah berkaitan insiden berkenaan.
"Projek tanaman durian musang king di Gunung Inas dikatakan telah dihentikan beberapa tahun lalu tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
"Selepas kejadian di Baling, Muhammad Sanusi ada membuat tinjauan menggunakan helikopter dan mendakwa takungan yang dibina di kawasan penanaman durian itu tidak pecah.
"Bagaimanapun, pada 18 Julai lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan punca banjir dan kepala air disebabkan kolam takungan yang dibina dalam tanaman durian di puncak Gunung Inas pecah,"katanya.
Menurutnya, pendirian dan pandangan Muhammad Sanusi yang sering berubah-ubah, tidak sepatutnya berlaku.
"Saya nak tanya apakah pendirian Menteri Besar tentang projek pembalakan ladang hutan Ladang Sejahtera yang dimulakan oleh Pas dulu dan apakah pendirian mengenai penanaman projek durian di kawasan hutan simpan?," soalnya.
Dalam masa sama, katanya, tindakan segera perlu dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan agar insiden sama tidak berulang.
"Kerajaan negeri perlu memikirkan tentang kerugian yang ditanggung penduduk jauh lebih besar daripada mengaut keuntungan projek pembalakan dan penanaman durian musang king," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!