Kaukus Parlimen demokrasi pelbagai parti ditubuh
Kaukus itu diterajui oleh konvener bersama Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), manakala Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan sekretariat kepada kaukus tersebut.
Kaukus itu turut dianggotai Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Loke Siew Fook (PH-Seremban), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah).
Selain itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang), Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) dan Baru Bian (PSB-Selangau).
Azalina berkata, kaukus itu penting untuk memupuk dan memandu persaingan sihat dan produktif pelbagai parti dalam mewujudkan amalan demokrasi lebih baik di Malaysia.
"Paling penting kita semua Ahli Parlimen dari kedua-dua belah Dewan, sama ada ahli-ahli backbencher atau pembangkang, kita mahu melihat keadaan yang lebih seimbang di Parlimen.
"... sebagai bekas Timbalan Yang Dipertua (Dewan Rakyat), kami tahu pemisahan kuasa kerajaan tetapi saya fikir rakyat mahu melihat ahli-ahli Parlimen bertindak dan berfungsi dengan adil, tanpa mengira di mana kita duduk,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Maria Chin berkata, sebagai permulaan, ahli-ahli Kaukus telah bersetuju mengkaji dan menggerakkan usaha untuk menyemak Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menambah baik operasi Parlimen.
"(Ini termasuk) mempermudahkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian dan digitalisasi proses-proses Parlimen, memperkasa Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen serta mengadakan perbincangan atau pendengaran bersama pihak berkepentingan seperti pakar-pakar, masyarakat sivil, media dan orang ramai berkenaan agenda pemerkasaan Parlimen dan pengukuhan demokrasi,” katanya.
Katanya, kaukus berkenaan berharap supaya platform itu dapat dimanfaatkan secara optimum oleh semua pihak dalam usaha memperkasa peranan sebenar Ahli-ahli Parlimen selaku pembuat undang-undang dan dasar negara sekali gus menjadikan institusi Parlimen profesional dan bertaraf dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!