Rafidah tegur menteri umum dasar kerajaan di media sosial
SHAH ALAM - Media sosial bukan tempat untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan, tegur bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tan Sri Rafidah Aziz.
Jelas beliau, sepatutnya menteri-menteri Kabinet berbincang terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada rakyat.
"Jangan tadbir negara ini menerusi media sosial dan jangan umumkan sebelum mereka bincang," katanya pada Program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Dewan Karangkraf, hari ini.
Menurut Rafidah yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi, dasar-dasar kerajaan perlu dibincangkan dengan terperinci dan mendalam bersama anggota Kabinet dan pihak berkepentingan daripada sektor swasta.
"Dengan ini, selepas mendapat maklum balas daripada mereka dan ketika kali pertama diumumkan, ia akan menjadi lebih berkesan dan rakyat akan dapat menerimanya.
"Tetapi malangnya mereka telah mengumumkan sebelum kajian dibuat, inilah masalah mereka, perdana menteri terpaksa menyelamatkan menteri dan menteri yang lain juga terpaksa bantu," katanya.
Rafidah berkata, teguran tersebut telah diberikan kepada menteri-menteri Kabinet dalam satu ceramah selama satu jam pada akhir Disember lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, mengenai persepsi anggota Kabinet sekarang terlalu muda dan tidak berpengalaman tidak seharusnya menjadi halangan untuk menjalankan tugas jika mereka terus komited.
Menyentuh isu berkaitan permintaan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) supaya laporan yang dikemukakan didedahkan kepada umum, Rafidah berkata, perkara itu adalah hak kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!