Dadah: Penganggur dipenjara lima tahun, 11 sebatan
KUALA PILAH - Mahkamah Sesyen Kuala Pilah menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan 11 sebatan terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah mengambil dadah pada April lepas.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman terhadap Noor Azmi Md Noor, 46, selepas tertuduh membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 18 April lepas pada jam 7.30 pagi bertempat di Pot Janda Enon, Kebun Kelapa Sawit Felda Pasoh 3,Jempol ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis heroin dan monoacetyImorphines seberat 5 gram.
Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.
Norma kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan ke atas tertuduh.
Sementara itu, tertuduh turut berdepan dengan satu lagi pertuduhan apabila didapati menggunakan dan memberikan dadah jenis morfin kepada diri sendiri di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol jam 12 tengah hari, juga pada tarikh yang sama.
Norma seterusnya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh berjalan serentak.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hafiz Leman dari Yayasan Biro Guaman Kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!