Van de Beek pertahan Maguire
PEMAIN tengah Manchester United, Donny van de Beek mempertahankan ketua pasukannya, Harry Maguire yang diejek dalam perlawanan persahabatan menentang Crystal Palace di Melbourne pada Selasa.
Menurut pemain tengah United itu, dia tidak faham berkenaan motif ejekan dilakukan kepada Maguire memandangkan tonggak pertahanan itu bermain dengan baik pada perlawanan terbabit.
"Saya juga terdengar (ejekan itu). Jujur saya katakan saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sampai dia diejek.
“Jika berdasarkan perlawanan hari ini, Harry bermain dengan sangat baik. Dia seorang yang agresif, dia memenangi begitu banyak bola jadi itu bermakna dia mempunyai personaliti yang besar.
“Dia berpengalaman luas jadi saya fikir apa yang dia tunjukkan, prestasinya adalah positif hari ini,” katanya.
Pada perlawanan tersebut Harry Maguire diejek penyokong Manchester United setiap kali dia menyentuh bola pada permulaan aksi persahabatan itu.
Bagaimanapun ia langsung tidak memberi kesan kepada moral pemain-pemain United apabila berjaya memenangi perlawanan itu menerusi jaringan Anthony Martial pada minit ke-17 diikuti Marcus Rashford (48’) dan Jadon Sancho (59’).
Skuad The Eagles kendalian Patrick Vieira berjaya meraih gol saguhati hasil tandukan Joel Ward pada minit ke-74 setelah menewaskan penjaga gol David de Gea.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!