Malaysia bida kerusi Majlis Telekomunikasi Antarabangsa
KUALA LUMPUR - Malaysia berhasrat membida kerusi dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk Wilayah E - Asia dan Australasia, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata, Malaysia menggambarkan ITU peka terhadap keperluan pembangunan anggotanya serta responsif dalam menghasilkan strategi dan pelan tindakan yang sesuai dengan tujuan.
"Kami akan menjadi inovatif dalam menawarkan penyelesaian bagi menangani cabaran masa depan dihadapi oleh keahlian dalam sektor dinamik dan cepat berubah ini. Justeru, kami perlukan sokongan anda,” katanya semasa ucaptama menerusi telesidang sempena Forum Dasar dan Kawal Selia Telekomuniti Asia Pasifik (PRF) berlangsung di Bangkok Thailand, semalam.
Di samping itu, beliau berkata, Malaysia merancang mengguna pakai strategi digital sejak lahir dan perkomputeran awan untuk mempercepatkan transformasi digital sektor awam.
Zahidi berkata, usaha itu dijangka meningkatkan 80 peratus penggunaan storan awan dalam kerajaan yang akan membolehkan penggunaan Big Data, kecerdasan buatan (AI), internet pelbagai benda (IoT), dan teknologi baharu muncul lain.
"Malaysia juga akan menambah baik infrastruktur ekosistem kesalinghubungan dan tulang belakang negara untuk menarik penubuhan pusat data, pusat pertukaran internet dan perniagaan sambungan antarabangsa ke negara ini,” katanya.
Zahidi berkata, Malaysia sedang meninjau untuk meningkatkan kualiti pengalaman liputan internet yang akan terus mengurangkan dan merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, inovasi dan transformasi digital adalah lebih daripada melancarkan infrastruktur digital kerana sebahagian besar membolehkan inisiatif termasuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran masa depan, menutup jurang antara bakat dan permintaan serta memastikan sumber manusia pada depan.
"Selaras dengan ini, Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Digital Malaysia (MD) sebagai inisiatif strategik nasional baharu untuk memeprcepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara yang dipacu oleh tiga prinsip utama iaitu fleksibiliti, ketangkasan dan kerelevanan.
"Inisiatif ini membayangkan untuk memacu penggunaan digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan orang ramai; mengembangkan syarikat teknologi tempatan untuk menjadi juara Malaysia, berkembang maju di peringkat global; dan menarik pelaburan digital bernilai tinggi,” kata Zahidi.
Zahidi berkata MD juga menyasarkan untuk memacu penggunaan digital dan peluang dalam ekonomi digital melalui Program Pemangkin Digital Malaysia (Pemangkin) dan tawaran kompetitif lain.
Beliau optimis dengan inisiatif digital, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka mencapai 25.5 peratus menjelang 2025 kerana pada masa ini ekonomi digital sudah menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!