Rakyat diseru letak sistem nilai aras tertinggi tangani rasuah

Ketua Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri) bersama Cynthia Gabriel, Tricia Yeoh dan Badlishah Sham Baharin pada sidang media 6 Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah 'Apa Sudah Jadi?' ydi Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Ketua Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri) bersama Cynthia Gabriel, Tricia Yeoh dan Badlishah Sham Baharin pada sidang media 6 Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah 'Apa Sudah Jadi?' ydi Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat diseru untuk bangkit meletakkan sistem nilai pada aras tertinggi bagi menangani budaya rasuah dan salah guna kuasa yang menjadi dua penyakit besar merosakkan negara.

Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub menegaskan, jika standard atau barometer yang ditetapkan oleh seseorang individu terhadap sistem nilai rendah, masalah rasuah dan salah guna kuasa tidak akan dapat diselesaikan.

"Jadi maknanya kalau kita boleh terima 'nilai' yang kurang untuk seseorang menjadi pemimpin kita, saya kira masalah rasuah tidak akan selesai.

"Biarlah nanti bila kita menilai pemimpin, ia harus berasaskan kepada sistem nilai yang telah ditetapkan.

"Biar standard yang dipegang akan jadi ukuran untuk nilai pemimpin. Bila buat begitu, saya rasa Insya-ALLAH kita akan selamat," katanya ketika diminta memberikan konklusi pada sidang akhbar Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah 'Apa Dah Jadi?' di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, sekiranya nilai itu diletakkan pada aras sepatutnya, setiap individu akan mempunyai rasa tanggungjawab.

Datuk Hussamuddin Yaacub.- Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Datuk Hussamuddin Yaacub.- Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

Jelasnya lagi, sekiranya mereka bergelar pemimpin, mereka akan melakukan tugas dengan baik serta dapat memenuhi keperluan rakyat.

"Untuk menikmati kemudahan-kemudahan seperti pendidikan dan kesihatan yang baik, kita harus mempunyai kerajaan, pemimpin, pegawai negeri dan negara serta penguasa yang baik yang berpegang kepada nilai.

"Untuk ke depan (perkara ini penting) kerana kita dah lihat dalam masa 20, 30 tahun kebelakangan ini, pergolakan politiklah paling mempengaruhi kestabilan negara dan menyebabkan kita porak-peranda seperti sekarang," ujarnya.

Katanya, kuasa ada di tangan rakyat untuk melakukan perubahan dan kuasa itu juga telah ditunjukkan rakyat dalam tempoh dua tahun setengah ketika negara melawan pandemik Covid-19 menerusi slogan 'Kita Jaga Kita'.

"Ia wajar diteruskan bukan sekadar ketika wabak sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!