Penyelesaian dua negara satu-satunya buat Palestin: Duta

Walid Abu Ali - Foto Bernama
Walid Abu Ali - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) belum cukup bertindak untuk menekan Israel supaya mengadakan perbincangan yang komprehensif dengan rakyat Palestin mengenai hak mereka untuk tinggal di negara Palestin yang merdeka.

Meskipun sukar mencari titik persamaan ke arah mencapai matlamat itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, penyelesaian dua negara adalah satu-satunya pilihan yang boleh dilaksanakan dalam menamatkan konflik Israel-Palestin yang sudah berlarutan sejak beberapa dekad.

"Tiada pilihan lain untuk membolehkan rakyat di Asia Barat itu untuk menikmati keamanan dan kestabilan melainkan pentadbiran Amerika memberi lebih tekanan kepada Israel,” kata Walid ketika dihubungi Bernama berhubung kenyataan kurang memberangsangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenai Penyelesaian Dua Negara.

Biden dalam satu sidang akhbar selepas bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas Jumaat lalu sempena lawatan sulungnya ke Asia Barat termasuk Israel dan Tebing Barat menegaskan, meskipun AS kekal komited kepada Penyelesaian Dua Negara, tetapi matlamat itu 'masih samar'.

"Tetapi sekurang-kurangnya beliau (Biden) mencuba. Sekurang-kurangya beliau berjanji untuk mencuba meskipun pihak terbabit masih belum bersedia untuk duduk berbincang," katanya.

Rundingan damai antara Palestin dan Israel yang ditaja AS pada 2014 gagal kerana keengganan Israel untuk menghentikan pembinaan penempatan dan membebaskan rakyat Palestin yang dipenjarakan sebelum 1993.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah memberi amaran kemungkinan kehilangan peluang untuk Penyelesaian Dua Negara dan menyeru para pemimpin dunia bertindak ke arah matlamat itu.

Walid menggesa masyarakat antarabangsa berlaku adil kepada rakyat Palestin kerana Barat pantas mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tetapi terus membisu mengenai kekejaman Israel di bumi Palestin.

"Rakyat Palestin telah menderita selama lebih tujuh dekad dan kami telah menjadi mangsa dwistandard,” katanya.

Presiden Palestin semasa pertemuannya dengan Biden telah menekankan asas serta syarat proses damai melalui pelaksanaan perjanjian yang ditandatangani dan resolusi antarabangsa untuk menamatkan pendudukan Israel di Palestin berdasarkan sempadan 1967.

Abbas juga menyeru AS untuk mengiktiraf Negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan meluluskan keahlian penuh Palestin dalam Perhimpunan Agung PBB. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!