Kes influenza meningkat, wad kanak-kanak hampir sesak
JOHOR BAHRU - Peningkatan kes influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) sebanyak lima peratus pada minggu ini menyebabkan pertambahan penggunaan katil di wad kanak-kanak di 13 buah hospital kerajaan di Johor.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, peningkatan kes ILI dan URTI itu memerlukan kanak-kanak tersebut mendapatkan rawatan di wad-wad hospital kerajaan.
"Perkembangan itu menjadikan kadar penggunaan katil di semua wad hospital awam di negeri ini pada kadar 76 peratus minggu ini (epid 28).
"Ia peningkatan empat peratus berbanding 72 peratus kadar penggunaan katil di semua wad hospital awam negeri ini bagi minggu lalu atau epid 27.
"Namun kadar penggunaan katil di semua hospital di negeri ini termasuk wad unit rawatan rapi (ICU) masih terkawal kerana ia berada pada kadar 76 peratus daripada jumlah 5,307 katil yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Rabu.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.
Tian Soon berkata, peningkatan penggunaan katil di wad-wad hospital kerajaan di negeri ini turut disumbangkan daripada peningkatan sedikit kes semasa Covid-19.
Katanya, jumlah kes Covid-19 itu mencatatkan peningkatan sebanyak 5.7 peratus berbanding minggu epid 27.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!