Reformasi Institusi perlu dilakukan dengan ikhlas: Anwar
SHAH ALAM - Reformasi institusi hanya boleh berjaya jika dilakukan dengan keikhlasan dan bukan sekadar retorik yang memukau semata-mata
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak dapat dibangunkan sekiranya pemimpinnya zalim dan mengamalkan rasuah.
Menurutnya, jika perkara itu berlaku, rakyat secara keseluruhan tidak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Untuk menjayakannya, generasi muda perlu mempunyai keyakinan iaitu asas kepada kekuatan hati. Dengan kata lain ia bukan pura-pura atau hipokrit. Kalau kita lihat hari ini, banyak pemimpin laungkan slogan perangi rasuah tetapi dia sendiri adalah bapa kepada rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Reformasi Institusi, Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.
Menurutnya, idea perubahan dalam kerangka besar yang menjadi pendorong kepada asas kepada dasar pembinaan negara.
"Idea pendorong itu perlu ada kalau tidak, wang akan membeli kita, jabatan akan pesongkan kita. Dengan kata lain, asal aku dapat duit, kiblat ketaatan aku berubah.
"Sebab itu saya cakap perlunya perubahan dalam kerangka besar yang boleh pemandu dalam menentukan dasar yang akan dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, usaha ke arah mereformasi institusi sedang berlaku di bawah pemerintahan PH.
"Sejak PH memerintah, banyak kritikan dilontarkan. Sebagai contoh mahasiswa lapar pada hari ini terus menjadi tajuk berita utama sedangkan ia berdaki sejak sekian lama.
"Mustahil penuntut UiTM tidak merasa mee segera untuk seminggu tetapi perkara itu tidak dihebahkan sebab pemerintahan sebelum ini mengongkong dan tak peduli. Sekarang, dengan keprihatinan kerajaan kita ambil tindakan segera dengan mewujudkan bank makanan atau food bank," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, keprihatinan kerajaan PH bukan dizahirkan oleh beliau sahaja tetapi keseluruhan pimpinan PH yang mempunyai agenda yang sama.
"Lihat beberapa negeri seperti Negeri Sembilan dan Selangor telah luluskan peruntukan bagi pembayaran RM100 bagi pelajar dari negeri mereka yang datangnya daripasa B40," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!