Pesakit edema meninggal dunia
PELABUHAN KLANG - Seorang pesakit edema atau bengkak di bahagian perut, Ahmad Shahrul Nizam Nayan, 54, yang menetap di Telok Gong, di sini meninggal dunia pada Rabu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri di Facebook pada Rabu.
Azmizam menerusi hantaran tersebut mengucapkan takziah kepada waris arwah Ahmad Shahrul Nizam atas pemergiannya.
"Menerima berita sedih daripada waris keluarga Ahmad Shahrul Nizam yang pergi menghadap Sang Pencipta.
"Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan kisah arwah Ahmad Shahrul Nizam terpaksa berhenti kerja di Pelabuhan Klang Utara akibat menghidap penyakit jantung pada tahun 2015, disusuli penyakit edema sejak tahun 2020.
Selain itu, penyakitnya bertambah buruk apabila berat badannya meningkat kepada 219 kilogram setakat September lalu.
Arwah juga pernah merayu kepada orang ramai yang ingin membantunya dalam bentuk kewangan mahupun perubatan kerana tidak dapat menampung kos rawatan yang semakin meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!