Kaki pancing kesal insiden baling bahan letupan dalam sungai
JERANTUT - Sekumpulan pemancing kesal dengan tindakan individu yang membaling bahan letupan di Jeram Perahu dekat Sungai Sepia di Taman Negara di sini pada Sabtu lalu.
Seorang pemancing yang enggan dikenali berkata, pada hari kejadian, tapak kem mereka dikunjungi satu rombongan yang terdiri daripada 20 orang termasuk tokoh-tokoh kenamaan.
"Pada mulanya kami ingat kedatangan mereka untuk membuat tinjauan, namun selepas berbual seketika, tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang kuat.
"Kami sangka bot rosak rupanya bunyi daripada bahan letupan yang dibaling ke dalam sungai oleh jurubot rombongan itu.
"Rasanya ada beberapa biji dibaling ke dalam sungai dan selepas ditegur, kumpulan rombongan itu terus beredar dari tempat kejadian," dakwanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Dakwanya lagi, beberapa rakan mereka juga terserempak dengan beberapa individu yang sedang menjala ikan di bahagian atas jeram tersebut.
"Kami kesal dengan tindakan mereka kerana aktiviti menjala memang tidak dibenarkan di Taman Negara," ujarnya.
Susulan insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat pada Selasa agar pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, wakil kumpulan pemancing dikenali Mat berkata, beliau kesal dengan insiden tersebut yang berlaku di kawasan tumpuan pelancong.
"Ini trip pertama saya anjurkan ke lokasi terbabit dan dikejutkan dengan insiden sebegini.
"Ketika kejadian saya berada di hulu sungai dan dimaklumkan oleh peserta mengenai insiden ini.
"Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat segera dan bertindak mengikut undang-undang agar insiden sama tidak berulang dan sebagai pencinta alam, lokasi seperti di Taman Negara perlu dipelihara sebaik mungkin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!