Jet tempur buatan Korea Selatan-Indonesia mulakan ujian
SEOUL - Jet tempur KF-21 Boramae yang dihasilkan secara bersama oleh Korea Selatan dan Indonesia mula terbang buat pertama kali dari sebuah pangkalan tentera di Sacheon pada Selasa.
Reka bentuk jet tersebut adalah berdasarkan kepada pesawat tempur F-35 Joint Strike Fighter Lockheed Martin, Amerika Syarikat (AS).
Namun, ia tidak begitu sama dari segi keupayaan pesawat tempur F-35 tetapi tetap mempunyai beberapa statistik yang mengagumkan.
Pesawat prototaip KF-21 itu berlepas buat kali pertama pada jam 3,40 petang waktu tempatan pada Selasa dari sebuah pangkalan tentera udara berhampiran ibu pejabat pengeluarnya, Korea Aerospace Industries (KAI) di Sacheon, Wilayah Gyeongsang Selatan.
Menurut Defence News, jet itu terbang selama 30 minit dengan mencapai kelajuan 400 kilometer sejam ketika juruterbangnya, Mejar Junhyeon Ahn dari Unit Ujian dan Penilaian Tentera Udara Korea Selatan memeriksa fungsi asas pesawat berkenaan.
Gambar menunjukkan pesawat itu membawa replika empat buah peluru berpandu jarak jauh METEOR dari udara ke udara.
Ia sekali gus membayangkan bahawa jet berkenaan akan menjadi pesawat pertama di Asia yang menggunakan senjata canggih itu.
Jet itu juga dijangka membawa peluru berpandu udara (ALCM) Cheon Ryong baharu Korea Selatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!