Rakyat Sabah diminta gesa kerajaan pertahan kedaulatan negara
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman meminta rakyat Sabah bersatu menggesa kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan negara berikutan isu rampasan anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Azerbaijan yang dilakukan waris kesultanan Sulu.
Katanya, ia berikutan tunjang tuntutan itu adalah Sabah.
Tegas beliau, walaupun kabinet menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat dan Petronas telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa asetnya telah dilupuskan dan dikembalikan, namun rakyat juga berhak mengetahui keseluruhan cerita itu.
"Rampasan dibuat berdasarkan dakwaan tuntutan terhadap Sabah yang kita tidak iktiraf.
Hakikat bahawa aset itu boleh dirampas adalah sama dengan campur tangan asing yang tidak menghormati kedaulatan dan mengiktiraf tuntutan terhadap Sabah.
"Apa lagi yang boleh dirampas oleh waris (kesultanan Sulu) ini dengan bantuan negara asing?
Bolehkah mereka rampas tanah di Sabah juga?
Apabila itu terjadi, apa yang akan berlaku kepada rakyat Sabah...adakah mereka akan menjadi pengemis di tanah sendiri?
"Kerajaan mesti jelaskan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anifah yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis berkata, usul mengenai isu itu yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis perlu dibenarkan dibahaskan di Parlimen.
"Memang adalah tidak bijak untuk mendedahkan strategi Malaysia tentang cara menangani isu itu.
"Tetapi berapa lama kita harus berdiam diri mengenai perkara itu?
Rakyat khususnya di Sabah ingin tahu sama ada kedaulatan kita telah dicabul atau tidak dan sama ada kerajaan melakukan segala yang termampu atau tidak untuk mempertahankan kedaulatannya.
"Kami tidak meminta kerajaan mendedahkan perkara sulit semasa perbahasan.
Saya pasti setiap ahli Parlimen tahu bahawa beberapa perkara adalah sulit dan hanya didedahkan kepada ahli kabinet paling kanan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi merujuk kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mempertahankan keputusannya untuk menolak usul itu daripada dibahaskan.
Anifah berkata, sebagai ahli Parlimen, adalah menjadi hak mereka untuk membahaskan isu berkenaan di Parlimen bagi mewakili suara rakyat.
"Saya difahamkan usul itu telah dikemukakan semula kepada pejabat Speaker dan berharap ia dibenar untuk dibahaskan.
"Apa gunanya mengamalkan demokrasi jika persoalan asas berkaitan kedaulatan kita tidak boleh dibahaskan," katanya lagi.
Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan isu berkenaan.
"Ini untuk masa depan Sabah.
Kita perlukan jaminan bahawa kerajaan benar-benar memandang serius keselamatan Sabah," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!