KDEBWM ceriakan anak yatim, bawa tonton filem Mat Kilau
SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menceriakan seramai 50 anak yatim di Selangor dengan membawa penghuni pertubuhan kebajikan itu menonton filem Mat Kilau di Space U8 di sini pada Rabu.
Pengurus Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, tiga rumah anak yatim dipilih iaitu Rumah Aman (Shah Alam); Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh dan Persatuan Rumah Kebajikan Anak Yatim Damai, Kuang.
Menurutnya, program tersebut diadakan dengan kerjasama syarikat Rightontrack Sdn Bhd yang mengendalikan sistem pemantauan kenderaan (VMS) bagi memastikan jentera KDEBWM dipantau menggunakan sistem GPS untuk tujuan keselamatan.
“Harap program ini dapat memberikan keriangan kepada penghuni rumah anak yatim dan asnaf yang menyertainya.
“Melalui filem ini, diharap anak-anak dapat menanam rasa cinta kepada negara, lebih bersemangat dan menghargai sejarah Malaysia.
“Ini pun salah satu persediaan sebelum menyambut bulan kemerdekaan tidak lama lagi. Jadi kita bersama-sama anak yatim ini boleh menghayati semangat kenegaraan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Rizal berkata, lebih lima program melibatkan golongan anak yatim dan asnaf dilaksanakan tahun ini.
Ujarnya, antara program yang dilaksanakan adalah majlis berbuka puasa, sambutan hari raya dan pengisian dalam bentuk didikan pengurusan sampah serta kitar semula.
Ahmad Rizal menambah, KDEBWM turut memberikan sumbangan barangan sekolah kepada golongan tersebut pada awal tahun sebagai persiapan menempuhi alam persekolahan.
“Kita sasarkan segala rancangan yang dibuat adalah usaha sama dengan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE)
“Jika mereka (YIDE) ada program berkaitan (menyantuni anak yatim), kita akan cuba bantu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!