Projek MRT3, ECRL, Pan Borneo diteruskan

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan bahawa projek mega seperti Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) akan diteruskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hanya 30 projek tidak akan diteruskan melibatkan kos kira-kira RM100 juta.

“Projek-projek seperti MRT3 dan ECRL, projek-projek ini akan diteruskan.

“Yang ditangguhkan saya hendak ulang kerana ini penting. Ia projek-projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses iklan. Jadi, skopnya cukup jelas,” katanya sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanyakan jumlah projek yang ditangguhkan dan adakah projek mega akan terkesan dengan dasar menangguh serta membatalkan projek baharu oleh kerajaan.

Tambah Mustapa, penangguhan projek itu hasil daripada sesi libat urus Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jelasnya, projek yang telah dikenalpasti ditangguhkan pada tahun ini melibatkan pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM)

Selain itu katanya, projek lain ialah projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara di bawah KSM dan projek penyelidikan strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!