KRPPM serah RUU Pendanaan Politik, harap sokongan ahli Parlimen

Fadhli (tengah) pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Fadhli (tengah) pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) memaklumkan satu usul bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian mengenai Pendanaan Politik telah diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, pada 13 Julai lalu.

Pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bagi mengukuhkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pendanaan dan pengurusan wang dalam politik.

“Kita mengharapkan rang undang-undang ini diberikan laluan, dibentangkan secepat mungkin Parlimen dan memohon sokongan serta kerjasama dari semua ahli Parlimen, senator dan masyarakat sivil.

“Ini menunjukkan bagaimana seriusnya kita untuk menjadikan rang undang-undang ini sebagai satu kenyataan,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi KRPPM, Fahmi Fadzil pula berkata, dalam sejarah Parlimen di negara ini, jarang dilihat RUU persendirian seperti ini dibawa ke Dewan Rakyat.

“Tetapi setidak-tidaknya niat kami ialah menyediakan satu draf yang semestinya telah diterima senaskhah oleh menteri-menteri yang berkaitan.

“Daripada situ, kita harap yang mana baik boleh diguna pakai dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada rang undang-undang,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, pihaknya percaya perkara ini antara penambahbaikan atau reformasi yang perlu untuk Parlimen.

“Bukan setakat pendanaan politik, anti lompat parti tetapi banyak yang perlu kita lakukan untuk pastikan suasana demokrasi di Malaysia bertambah baik.

“Dengan adanya rang undang-undang pendanaan politik, kita dapat pastikan kes yang kita dengar sekarang ini tidak berlaku pada masa depan,” tegasnya.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berkata, pihaknya gembira dapat terlibat dalam RUU persendirian mengenai Pendanaan Politik ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, parti baharu seperti Pejuang akan tertakluk di bawah RUU ini.

“Kita harap akan ada pendekatan untuk meratakan ‘padang permainan’ itu supaya semua parti politik yang terlibat dalam pilihan raya mempunyai peluang yang sama dan kita bersaing dari segi idea serta kudrat untuk membawa kebaikan bagi negara kita,” jelasnya.

Sementara itu, KRPPM dalam kenyataan medianya berkata, antara kandungan utama RUU ini mengenai satu kumpulan wang parti politik ditubuhkan untuk mengurus pendanaan awam kepada parti politik yang berkelayakan berjumlah RM130 juta setahun.

“Sebuah parti politik berkelayakan mendapat peruntukan ini jika menerima sekurang-kurangnya dua peratus daripada jumlah undi sah dalam satu pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, kandungan lain RUU ini berkaitan jumlah maksimum pendermaan yang dibenarkan daripada seorang adalah RM50,000, daripada suatu syarikat RM100,000 dan daripada suatu kumpulan syarikat RM500,000 dalam satu tahun kewangan.

Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada peringkat persekutuan, negeri atau peringkat badan berkanun serta beberapa yayasan dilarang memberikan pendermaan kepada parti politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!