Zahidi sindir lantik Annuar Musa atau Takiyuddin jadi TPM

Annuar, Takiyuddin, Zahidi
Annuar, Takiyuddin, Zahidi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada masa ini, tidak perlu kerana banyak isu rakyat yang lebih penting dan harus diselesaikan terlebih dahulu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, rakyat kini terpaksa berdepan dengan masalah kenaikan harga barangan, penyelesaian Covid-19 dan pekerjaan.

Namun berikutan desakan pihak tertentu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelantikan jawatan TPM, Zahidi secara sinis mencadangkan agar jawatan itu diisi oleh Tan Sri Annuar Musa atau Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Jelasnya, dua orang itu antara yang menjadi saksi dan mengetahui mengenai wujudnya memorandum persefahaman (MoU) di antara Ismail Sabri dan juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada masa ini, tidak perlu pelantikan jawatan TPM kerana pentadbiran negara berjalan seperti biasa dan lancar.

“Ada isu lain yang lebih penting dan sedang dihadapi rakyat, perlu segera ditangani terutama kenaikan harga barang, Covid-19 pun belum selesai, pekerjaan dan banyak lagi.

“Namun disebabkan ada pihak mendesak Ismail Sabri dan membangkitkan isu pelantikan jawatan TPM serta mendedahkan wujudnya MoU antara PM dan Muhyiddin, maka saya cadangkan elok lantik Annuar Musa dan Takiyuddin kerana mereka mengaku menjadi saksi MoU itu ditandatangani.

“Bagi saya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan MKT UMNO sendiri pun tidak mengetahui wujudnya MoU untuk melantik TPM.

“Malah, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga dikatakan tidak mengetahuinya.

“Oleh itu, disebabkan Presiden UMNO tidak mengetahuinya, Presiden Pas pun tidak tahu, juga MKT UMNO pun tidak tahu, elok lantik sesiapa yang tahu dan yang menjadi saksi mengenai MoU itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menjawab pertanyaan sama ada pelantikan jawatan TPM itu kelak menyelesaikan segala masalah rakyat, Zahidi berkata, pada masa ini walaupun tiada pelantikan posisi itu, namun pentadbiran negara lancar.

Malah kata beliau, tumpuan patut diberikan dalam menyelesaikan isu-isu rakyat.

“Rakyat di bawah sana, kini sedang risau dengan pelbagai masalah yang mereka hadapi.

“Kini rakyat mula bercakap mengenai isu inflasi yang mereka hadapi disebabkan kenaikan harga barangan.

“Kerajaan harus memberikan tumpuan terhadap penyelesaian masalah rakyat dan bukan pelantikan jawatan TPM,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!