TM sasar 58 peratus liputan gentian optik di Sabah menjelang 2025
KOTA KINABALU - Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan untuk mencapai 58 peratus liputan gentian optik di Sabah menjelang 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar.
Beliau berkata, TM akan memasang gentian optik sekurang-kurangnya di 145,000 premis di Sabah dalam tempoh tiga tahun mulai tahun ini bagi mencapai sasaran itu.
Imri berkata, sasaran itu telah dikongsikan oleh delegasi kepimpinan TM diketuainya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.
"TM juga akan mempercepat kadar pemasangan gentian optik di Sabah dalam usaha menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya," katanya dalam kenyataan, di sini.
Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, Imri berkata delegasi TM antara lain turut berkongsi maklumat terkini aktiviti agensi berkenaan di Sabah; usaha membawa akses kesalinghubungan serta penyelesaian digital kepada rakyat; komuniti perniagaan; industri dan sektor awam.
Imri berkata, TM telah melabur lebih RM1.1 bilion untuk CAPEX di Sabah sejak 2012 bagi meningkatkan kesalinghubungan dan gentian di negeri berkenaan.
Beliau berkata, TM juga telah menghubungkan hampir 282,000 premis di Sabah; dengan sejumlah 32,000km kabel gentian optik di seluruh negeri, disamping 59 tapak sambungan gentian optik disediakan di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai Point Of Presence (POP).
Secara keseluruhan, TM menggunakan lebih 600,000km kabel gentian optik di seluruh negara, dan usaha itu akan terus diperhebat selaras dengan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA), katanya.
Katanya, TM turut memasang nod pertukaran internet TM (TMiX) di Kota Kinabalu dan Penampang, selain Inanam, Kinarut, Manggatal serta Putatan yang dijangka siap pada hujung tahun ini, bagi membolehkan muat turun kandungan dengan lebih pantas dan mengurangkan kadar latensi.
Menurutnya, TM juga akan membolehkan lokalisasi kandungan, dengan pemain OTT boleh menempatkan pelayan kandungan di Penampang; menempatkan nod Rangkaian Penghantaran Kandungan (CDN); dan melaksanakan Gerbang Antarabangsa (IGW) di daerah itu menjelang suku pertama 2023.
"Sebagai sebuah syarikat berteraskan insan, TM bersedia memainkan peranan bagi merealisasi agenda digital Sabah dalam pelbagai cara termasuk membangunkan modal insan berdaya saing menerusi biasiswa, kerjasama pendidikan bersama Universiti Multimedia serta peluang-peluang pekerjaan,” kata Imri.
TM juga sedia berkerjasama dalam menawarkan penyelesaian digital komprehensif antara lain kepada sektor awam dan perniagaan di Sabah dengan Kerajaan Digital, Pasaran Digital; tawaran perhidmatan Awan; Pusat Data dan Keselamatan Siber komprehensif; serta rangkaian penyelesaian Bandar Pintar, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!