Pemandu pacuan empat roda tular guna lorong kecemasan disaman

Identiti pemilik pacuan empat roda itu dikenal pasti selepas tular video yang memaparkannya menggunakan laluan kecemasan. - Polis
Identiti pemilik pacuan empat roda itu dikenal pasti selepas tular video yang memaparkannya menggunakan laluan kecemasan. - Polis
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis telah mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan pacuan empat roda yang videonya tular menggunakan laluan kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan arah Utara bermula dari Sungai Dua ke arah Bertam di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu telah dipanggil ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk membantu siasatan.

"Selepas tular video berdurasi satu minit 50 saat yang memaparkan perbuatan pemandu berkenaan menggunakan lorong kecemasan, polis telah menjalankan siasatan dan mengenal pasti identiti pemilik kenderaan terbabit.

"Pemilik kenderaan itu telah dipanggil ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada Khamis sebelum dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di atas kesalahan memandu di lorong kecemasan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Radzi mengingatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas sedia ada bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan demi menjaga kepentingan awam.

Tegasnya, pihaknya tiada akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan melanggar undang-undang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!